Pameran Kesedaran Penyakit Berkaitan Sel Darah Merah di Hospital Al Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam

Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Selangor Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) telah berjaya mengadakan program pameran kesedaran berkaitan penyakit sel darah merah bertempat di laluan utama Hospital Al Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam pada 6 Jun 2023. Seramai 39 orang pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan (Kepujian) sesi akademik Mac – Ogos 2023 telah terlibat dalam menjayakan program ini yang diketuai oleh 2 orang pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan iaitu Ts. Dr. Mohd Fadly Md Ahid dan Dr. Emida Mohamed.

Program ini diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang awam berkenaan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan sel darah merah khususnya talasemia dan anemia yang kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Antara mesej yang ingin disampaikan melalui program ini ialah bagaimana untuk mengenali tanda-tanda penyakit talasemia dan anemia, kesan kepada kesihatan, serta rawatan yang boleh diberi kepada individu yang terkesan. Selain itu, program ini juga secara tidak langsung dapat melatih mahasiswa UiTM untuk meningkatkan keyakinan dalam menyampaikan maklumat dan berkongsi pengetahuan yang dipelajari dari dewan kuliah kepada masyarakat.

Secara keseluruhan, sebanyak 8 booth pameran telah dibuka dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan seperti pameran poster kesihatan, aktiviti interaktif serta kuiz yang menawarkan cenderahati kepada setiap pengunjung.

Program ini telah mendapat maklum balas yang positif dari pengunjung dimana ianya berjaya meningkatkan kesedaran serta memberi pengetahuan baru mengenai penyakit berkaitan sel darah merah yang sebelum ini dipandang ringan oleh masyarakat. Aktiviti ini akan diteruskan di masa hadapan di lokaliti-lokaliti yang berlainan dalam usaha memberi kesedaran kepada lebih ramai orang awam.