Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang telah berjaya menganjurkan sebuah webinar yang bertajuk “The International Seminar on Intercultural Communication at the Workplace” pada 4 November 2022 (Jumaat), jam 2.30 petang hingga 4.30 petang, secara dalam talian.
Webinar yang telah dihadiri oleh lebih 200 orang peserta yang terdiri dari staf akademik dan para pelajar dari UiTM Cawangan Pahang serta orang awam ini merupakan sebuah projek Pengajaran Kolaboratif (Collaborative Teaching) bagi kod ELC650 yang telah diketuai oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Kamisah Ariffin dan para pensyarah ELC650 English for Professional Interaction pada semester ini.
Penceramah jemputan bagi webinar ini adalah YBhg. Dr. Nor Suharti Abdul Karim yang merupakan Academic Skills Facilitator & Learning Data Analyst dari Torrens University Australia yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan di Australia. YBhg. Dr. Nor Suharti telah berkongsi dengan para peserta beberapa topik seperti Small Talk dan Essentials of Communication yang telah disampaikan dengan menarik dari segi perkongsian pengalaman beliau menetap dan bekerja di Australia sekaligus membuka mata para peserta webinar mengenai perbezaan budaya di tempat kerja di antara Malaysia dan Australia.
Diharapkan webinar seperti ini akan dianjurkan lagi di masa hadapan sebagai salah satu inisiatif murni Akademi Pengajian Bahasa Cawangan Pahang untuk memberi informasi dan pengalaman baru kepada semua terutamanya para pelajar bagi mempersiapkan mereka sebelum menyertai bidang pekerjaan di masa hadapan sekaligus dapat menghasilkan pelajar UiTM yang cakna akan budaya secara amnya dan budaya di tempat kerja secara khususnya, di dalam negara mahupun di luar negara.