Taklimat Promosi dan Pengenalan Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UiTM Cawangan Perak

SERDANG 7 Februari 2024 – Telah berlangsung sesi Taklimat Promosi dan Pengenalan Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UiTM Cawangan Perak bertempat di Dewan Tan Sri Yusof Hashim, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Sesi taklimat ini merupakan aktiviti julung kalinya dijalankan bersempena Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh pihak Ibu Pejabat MARDI. Sesi promosi di ruangan foyer dewan telah bermula seawal jam 10 pagi ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengenalan kepada staf MARDI berkenaan program-program pascawsiswazah yang ditawarkan di bawah PPS UiTM Cawangan Perak. Program ini diwakili oleh Penyelaras PPS, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, iaitu Chm. Dr. Nurul Izza Taib, bersama ahli jawatankuasa Promosi PPS, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, iaitu Dr. Mimi Sophia Sarbandi dan Pn. Rabiatul Adawiyah Abdul Wahab.

Sepanjang sesi promosi ini berjalan, pelbagai program pascasiswazah di bawah PPS UiTM Cawangan Perak secara amnya telah diperkenalkan kepada pengunjung yang telah bertandang pada hari tersebut. Sebanyak 35 program pascasiwazah ditawarkan pada peringkat sarjana dan doktor falsafah di bawah 8 fakulti yang berbeza yang terletak di UiTM Cawangan Perak samada di Kampus Seri Iskandar mahupun Kampus Tapah. Para pengunjung yang kebanyakannya adalah staf MARDI amat berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan program pengajian yang disediakan terutamanya adalah kerana yuran pengajian yang ditawarkan oleh UiTM adalah amat berpatutan dan antara yang termurah yang boleh didapati dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

 

Selain daripada itu, selaku wakil PPS Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak, kami amat berbesar hati kerana Ketua Pengarah MARDI sendiri iaitu Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani turut berkunjung ke meja pameran kami. Beliau amat berterima kasih di atas kedatangan pihak UiTM ke MARDI kerana disebabkan oleh kekangan mobiliti pihak MARDI untuk mendapatkan info secara terus daripada UiTM. Beliau turut amat mengalu-alukan kerjasama di antara MARDI dan UiTM Cawangan Perak bagi menjalankan kolaborasi penyelidikan. Ini kerana, beliau amat berbangga dengan institusi penyelidikan di bawah kelolaan beliau yang dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan teknikal dan makmal bagi tujuan penyelidikan dan perkembangan teknologi melibatkan pertanian dan sumber makanan. Kami juga menghargai kerjasama pihak MARDI kerana telah menyediakan slot khas untuk wakil kami memberi taklimat khas berkenaan PPS UiTM Cawangan Perak kepada pengunjung.

Turut menghadirkan diri ke sesi taklimat tersebut adalah Pengarah Pusat Pengurusan Sumber Manusia, En. Ahmad Azlan Roslee dan Timbalan Pengarah Program Latihan dan Kompetensi, Cik Nor Ziana Mohd Uzir. Sambutan yang amat memberangsangkan daripada staf MARDI di mana anggaran kehadiran adalah seramai 40 orang sewaktu taklimat tersebut amat dihargai. Sesi taklimat yang berjalan selama 45 minit itu disampaikan oleh Dr. Mimi Sophia Sarbandi telah memperkenalkan fasiliti dan kemudahan yang disediakan kepada prospek pelajar pascasiswazah. Sebagai tanda penghargaan, Dr. Mimi Sophia telah menyampaikan cenderemata khas daripada Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Perak kepada Cik Nor Ziana.