Taklimat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Bersama Kaunselor Sekolah Menengah Daerah Kuala Pilah

Unit Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah telah menganjurkan satu sesi perkongsian berkenaan dengan halatuju pendidikan selepas SPM bersama dengan 15 orang guru kaunselor sekolah menengah dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 27 April 2022 yang lalu. Perkongsian ini telah diadakan menerusi pelantar Google Meet dan telah disampaikan oleh Ts. Siti Nafisah Md Rashid selaku Koordinator Program PPT UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Ia turut dihadiri oleh Pn. Siti Noriah Mohd Shotor selaku Penyelaras Program Pra Sains, serta En. Mohd Zamil bin Md Zin @ Mohd Zain merangkap Penolong PPD Hal Ehwal Murid.

Menerusi program ini, para kaunselor telah diberikan informasi terkini berkaitan dengan peluang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM kepada lepasan SPM, khususnya ke program Pra Pendidikan Tinggi (PPT). Sebanyak 5 program pengajian di peringkat pra diploma disediakan bagi kemasukan sesi Oktober 2022 seperti program Pra Diploma Sains, Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi, serta Pra Diploma Pengajian Islam. Kesemua program ini adalah terbuka kepada semua kategori pendapatan keluarga, sama ada golongan B40 mahupun bukan B40.

Selain daripada itu, para kaunselor juga telah dimaklumkan bahawa kaedah permohonan ke program PPT ini adalah sepenuhnya secara atas talian. Calon-calon lepasan SPM yang berminat untuk memohon perlulah mendapatkan nombor pin secara percuma terlebih dahulu daripada mana-mana Unit PPT kampus cawangan melalui emel, bagi membolehkan mereka mempunyai akses untuk mengisi borang permohonan secara atas talian. Di samping itu, calon-calon juga perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan untuk dimajukan kepada Unit PPT kampus cawangan bagi tujuan semakan dan pengesahan permohonan. Tempoh masa pengajian peringkat pra diploma adalah antara 6 bulan sehingga 1 tahun, bergantung kepada program yang dipilih oleh pelajar.

Melalui program sebegini, diharapkan para kaunselor dapat menyebarluas informasi kepada para pelajar serta lepasan SPM, di samping menggalakkan lebih ramai pelajar di sekitar kawasan Negeri Sembilan khususnya dalam daerah Kuala Pilah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menjadikan UiTM sebagai institusi pertama pilihan mereka.