Program Kotak Infaq Ramadhan 2022 Anjuran Jabatan Fizik Dan Sains Bahan UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah

Pada 27 April 2022 yang lalu, Jabatan Fizik dan Sains Bahan UiTM Kuala Pilah dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Pilah telah mengadakan program Kotak Infaq Ramadhan 2022. Program ini diadakan bertujuan untuk mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadhan dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk barangan dapur kepada 25 orang asnaf dan 3 orang anak yatim di Kg. Seri Pilah yang telah dikenalpasti, sebagai persediaan mereka untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Setiap penerima telah menerima sebuah kotak infaq yang mengandungi barangan keperluan asas seperti pek nasi himpit, gula, 1 kg minyak masak, garam, tepung, serbuk kopi, teh uncang, perencah masakan, susu pekat, sardin, kicap, minuman kordial, dan santan kotak.

Kesemua barangan keperluan dapur ini adalah hasil daripada kutipan sumbangan wang tunai yang disumbangkan oleh warga UiTM Cawangan Negeri Sembilan berjumlah RM 1465.00. Majlis penyampaian kotak infaq ini telah diadakan di Balai Raya Kg. Seri Pilah, dihadiri oleh Pengerusi MPKK Seri Pilah iaitu Encik Muhamad bin Abdullah, jawatankuasa kampung, wakil daripada keluarga asnaf dan anak yatim Kg. Seri Pilah, serta para pensyarah Jabatan Fizik dan Sains Bahan, UiTM Kuala Pilah.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga ukhuwah yang terjalin ini akan diteruskan dan dipereratkan pada masa akan datang.