Taklimat Pengurusan Stress Bersama Pelajar Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Kuala Pilah

Unit Kaunseling dan Kerjaya UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan satu sesi perkongsian berkaitan pengurusan stress bersama dengan para pelajar program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Kampus Kuala Pilah. Program ini telah dijalankan sepenuhnya secara atas talian selama 2 jam, menggunakan pelantar Cisco Webex dan telah diadakan pada 10 Disember yang lalu. Ia telah dihadiri oleh seramai hampir 60 orang pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Pra Diploma, iaitu Pra Diploma Sains dan Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera). Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Cik Wan Noradila Wan Mohd Zain, yang merupakan Pegawai Psikologi Kanan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Pada awal sesi perkongsian, Cik Wan Noradila telah mengupas maksud di sebalik perkataan stress, di mana ia melibatkan keupayaan seseorang individu untuk menampung sesuatu tekanan atau beban yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Ia wujud dalam dua keadaan di mana suatu tekanan ini boleh bersifat positif dan negatif. Bagi tekanan yang positif, ia diistilahkan dengan perkataan eustress, sementara tekanan yang negatif dinamakan sebagai distress. Bagi eustress, ia adalah bersifat membina, membantu seseorang individu untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat, di samping merangsang individu untuk menjadi lebih bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara yang dilakukan. Sementara itu, bagi distress pula, ia dianggap sebagai stress yang bersifat negatif kerana ia adalah bersifat toksik yang boleh memberi mudarat kepada kesihatan mental seseorang individu untuk menjalani kehidupan seharian.

Sebagai seorang pelajar, stress boleh wujud disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya adalah disebabkan oleh bebanan tugasan yang perlu disiapkan pada satu-satu tempoh, konflik atau masalah perhubungan dengan keluarga atau rakan-rakan, mengabaikan pemakanan dan gaya hidup sihat, tidak membuat perancangan masa dengan baik dan terlalu bersifat overthinking. Namun begitu, tekanan-tekanan sebegini masih boleh diatasi sekiranya ia dikawal dengan baik.

Di dalam perkongsian ini juga, para pelajar telah dikehendaki untuk menjawab ujian Depression, Anxiety and Stress Screening (DASS) yang merupakan ujian saringan awal untuk mengukur tahap stress dan kemurungan seseorang individu. Cik Wan Noradila turut menerangkan beberapa simptom atau gejala yang akan dirasai oleh seseorang yang mengalami tekanan melampau. Antaranya adalah sakit kepala, letih yang keterlaluan, cepat marah, gelisah, gangguan tidur, perubahan selera makan dan menunjukkan tingkah laku yang agresif. Ia boleh ditangani dengan mengamalkan konsep 10B iaitu bersyukur, bernafas dengan teratur, bicara diri, beribadat, berkongsi perasaan, berehat daripada rutin, berurut, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

Walaupun stress ini adalah bersifat normal, akan tetapi ia berpotensi untuk menjadi satu penyakit sekiranya ia tidak dapat diuruskan dengan baik. Hal ini berlaku apabila tekanan yang diterima ini bersifat berterusan, serta mengganggu kehidupan dan tugasan seharian, selain membawa kepada pemikiran atau perbuatan untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Di akhir program, Cik Wan Noradila telah berkongsi satu teknik yang boleh diamalkan oleh pelajar untuk menenangkan diri dan meredakan stress iaitu teknik ‘square breathing’. Melalui teknik ini, pelajar telah diajar dengan cara pernafasan yang betul, yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk lebih relaks dan memberi ketenangan pada fikiran.

Para pelajar juga turut diberi pendedahan mengenai media sosial persatuan PEERs yang merupakan persatuan pelajar di bawah pimpinan Unit Kerjaya & Kaunseling. Pelajar boleh mengikuti media sosial persatuan PEERs di rangkaian facebook dan Instagram bagi mendapatkan info semasa mengenai program-program yang dianjurkan dan juga perkongsian maklumat mengenai psikologi & kaunseling yang dikongsikan dari semasa ke semasa.