Taklimat Pengurusan Kewangan Bersama Peniaga Kecil Anjuran KUIMA

Pada 24 November 2023 yang lalu, satu program taklimat mengenai pengurusan kewangan kepada ahli-ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) iaitu para peniaga kecil telah dijalankan di Dewan Homestay Sri Makmur, Bandar Jengka. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh dua orang pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang iaitu Puan Norlaily Asnawi binti Sulaiman dan Puan Norlaila binti Mohd Din yang bertajuk “Pengurusan Kewangan Yang Bijak”. Program taklimat ini adalah anjuran oleh pihak Kelab Usahawan Ikhtiar dan Kesukarelawanan Maran (KUIMA) dan dihadiri oleh 62 orang ahli sahabat dan AJK KUIMA bersama pengerusi kelab KUIMA iaitu Puan Wan Salmah binti Wan Othman.

Program taklimat ini diadakan adalah bertujuan bagi memberikan pendedahan pengurusan kewangan perniagaan yang cekap dan betul kepada peserta. Pengurusan kewangan secara efektif amat penting bagi menjamin kelancaran operasi serta kelangsungan perniagaan. Antara pengisian taklimat adalah kaedah merekod transaksi perniagaan, tips pengurusan kewangan yang cekap, pengurusan kewangan menurut perspektif Islam dan pengurusan hutang yang baik. Para peserta yang hadir sangat teruja dengan perkongsian yang disampaikan dan juga memberikan maklumbalas yang positif pada penghujung sesi taklimat. Peserta juga diberi peluang berkongsi idea mereka dengan menerangkan pelan perniagaan yang dirasakan berpotensi bagi mengembangkan perniagaan mereka yang sedia ada. Di akhir sesi, peserta juga diminta untuk mengaplikasikan pengetahuan perihal perakaunan di dalam perniagaan yang diperolehi daripada taklimat di mana peserta perlu menyenaraikan pendapatan dan perbelanjaan serta mengira jumlah ekuiti pemilik di dalam perniagaan.

Program ini merupakan satu penghargaan kepada Fakulti Perakaunan kerana dapat melakukan khidmat komuniti setempat dari segi perkongsian pengetahuan Perakaunan dan pengurusan kewangan dalam perniagaan. Diharapkan Fakulti Perakaunan dapat menjalinkan kerjasama yang erat bersama peniaga sekitar Daerah Maran serta dapat memberikan manfaat yang berterusan kepada peserta dalam membantu peniaga menguruskan kewangan perniagaan dengan lebih baik dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang ilmu berkaitan kewangan perniagaan. Ini selaras dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 4 di dalam mencapai literasi dan numerasi sejagat serta matlamat pembangunan Mampan 8 di dalam meningkatkan kecekapan sumber.