Taklimat Penerapan Pra Diploma ke Diploma UiTM Cawangan Perak: Apa dan Bagaimana Proses Permohonan Penerapan Itu Berlaku?

SERI ISKANDAR, 21 Oktober 2023 – Pada bulan lalu telah diadakan satu taklimat kepada pelajar Pra Diploma Perdagangan (BA002/BA003) berkaitan dengan proses permohonan penerapan pra diploma ke program diploma UiTM. Tujuan taklimat ini adalah untuk memupuk kesedaran kepada pelajar pra diploma mengenai kepentingan memilih program diploma yang tepat semasa mengisi permohonan penerapan tersebut, bagi mengelakkan kesilapan dan kegagalan dalam meneruskan program diploma UiTM nanti.

UiTM menawarkan lebih daripada 40 program diploma kepada pelajar Pra Diploma Perdagangan, yang melibatkan program-program di bawah beberapa fakulti lain seperti Fakulti Perakaunan, Fakulti Perhotelan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, dan lain-lain. Sepanjang program ini berlangsung, pelajar didedahkan kepada prosedur yang betul dan tepat untuk mengisi borang permohonan tersebut. Penyampaian maklumat ini telah dilakukan oleh Koordinator Pra Diploma (Pra Pengajian Siswazah) UiTM Cawangan Perak, Puan Nor Zarina Mohd Salim.

Selain itu, pihak program pra diploma juga menjemput dua orang wakil dari Kolej Pengajian Seni Kreatif untuk memberikan taklimat berkaitan dengan program Seni Seramik dan juga Seni Fotografi. Sesi taklimat kali ini juga diselitkan dengan sesi ramah mesra pelajar bersama penasihat akademik mereka, yang terdiri daripada beberapa orang pensyarah dari Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, bertujuan untuk memudahkan pelajar mengemukakan sebarang masalah mereka berkaitan dengan proses permohonan tersebut.

Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar sepanjang proses penerapan ke program diploma UiTM nanti.

Laporan disediakan oleh Dr Siti Nur’amalina Syeddin* dan penulis bersama ialah Nor Zarina Mohd Salim, Noormahayu Mohd Nasir dan Hafini Suhana Ithnin.

*Koresponden: amalinasyeddin[at]uitm.edu.my