Taklimat Fakulti Perakaunan Sempena Minggu Edu 5.0 UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, SABAH – Bersempena dengan Minggu Edu 5.0 dan pendaftaran pelajar baharu bagi Sesi 1 2023/2024 yang lalu, satu taklimat fakulti telah diadakan bersama para pelajar baharu Diploma Perakaunan yang telah diadakan di Dewan Ibnu Khaldun. Seramai 100 orang pelajar baharu yang berkenaan telah hadir mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Sitti Syamsiar Binti Muharram.

Para pelajar telah diberikan maklumat dan penerangan tentang pelan dan struktur pengajian termasuk syarat-syarat dan keperluan pendaftaran kursus seperti yang digariskan di dalam Peraturan Akademik dan lain-lain pekeliling akademik yang sedang berkuat kuasa. Para pelajar juga digalakkan untuk menyertai apa jua aktiviti dan program yang dianjurkan baik di peringkat fakulti, kampus dan malah ke peringkat yang lebih tinggi. Taklimat turut diselang-selikan dengan sesi ‘pop quiz’ di mana pelajar yang berjaya menjawab soalan, telah diberikan hadiah kecil. Adalah diharapkan perkongsian selama lebih kurang 2 jam tersebut telah memberikan gambaran kepada pelajar tentang kehidupan sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi dan akan meneruskan kejayaan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Sabah kelak.

Selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baharu UiTM Cawangan Sabah, khasnya pelajar Diploma Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda (Perakaunan) bagi Sesi 1 2023/2024. Terima kasih juga diucapkan kepada penganjur program, iaitu Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), UiTM Cawangan Sabah dan beberapa orang pelajar daripada barisan Majlis Tertinggi dan Exco The Accountancy Club yang turut sama hadir membantu dalam pelaksanaan taklimat tersebut.