Majlis Perasmian Modern Language Olympiad (MLO) 2.0 2023

SHAH ALAM, 8 NOVEMBER 2023 – Majlis Perasmian Modern Language Olympiad (MLO) 2.0 2023 telah diadakan pada 7 November 2023 bertempat di Dewan Platinum Melati, Kolej Kediaman Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam dan dirasmikan oleh YBhg. Tuan Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Program ini berlangsung selama 4 hari iaitu dari 7 hingga 10 November 2023. Terdapat empat(4) kategori yang akan dipertandingkan iaitu naratif terancang, ucapan spontan, drama radio dan pembacaan berita. Program ini dianjurkan untuk meningkatkan serta mengasah kualiti kepemimpinan dan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar. Program ini juga menjadi platform pertukaran ilmu, budaya dan bahasa dalam kalangan para pelajar dalam dan luar negara, khususnya dalam berbahasa Melayu, lnggeris dan Arab.

Majlis perasmian ini turut diserikan dengan persembahan tarian Kumpulan Cilik Akar Waris dari Sekolah Kebangsaan Raja Muda dengan iringan lagu Lemak Manis. Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu Umpan Jinak di Air Tenang oleh NurQairulnisa Najwa dari Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Muhammad Ihsan Anuardy dari Fakulti Muzik dengan lagunya Tak Seindah Wajah.

Dengan adanya Program Modern Language Olympiad (MLO) 2.0 2023 ini dapat mengukuhkan lagi usaha organisasi UiTM dalam mengangkat, mengukuhkan, dan memartabatkan lagi UiTM di persada antarabangsa.