Tahniah Azureen Hatiqah Dan Jaqueline Jane: Penerima KPMG Young Star Sponsorship 2022 Daripada Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Sabah

25 Mei 2022 (Kuala Lumpur) – Dua (2) orang pelajar Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu telah dianugerahkan ‘KPMG Young Star Sponsorship’ di satu majlis penyampaian anugerah tersebut yang diadakan di KPMG Tower, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Saudari Azureen Hatiqah Binti Abidin merupakan pelajar Bahagian 4, Diploma Perakaunan manakala Saudari Jaqueline Jane Joachim pula sedang menyambung pengajian di Bahagian 3 di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian). Kedua-dua pelajar telah menerima ‘mock cheque’ bagi anugerah biasiswa bernilai RM4,000 (Ringgit Malaysia: Empat Ribu Sahaja). Anugerah tersebut disampaikan oleh Puan Chan Siew Mei, Head Advisory and CFO, KPMG Malaysia yang juga salah seorang daripada pemegang amanah KPMG Education Trust Fund. Semoga bantuan yang diberikan dapat mengurangkan beban kewangan kedua-dua pelajar.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Cik Shafawati Farhana Binti Mohd Safihie, pensyarah Fakulti Perakaunan selaku pegawai pengiring kedua-dua pelajar dan Encik Muhammad Uqail Esa daripada KPMG di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan. Tidak lupa juga kepada pihak KPMG yang telah mengadakan inisiatif ini dalam membantu meningkatkan peluang pendidikan di kalangan B40. Maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati melalui http://www.kpmg.com.my/EducationTrustFund