Sumbangan Ramadhan 2023 Kepada Pelajar Pra Diploma UiTM Cawangan Pulau Pinang

PULAU PINANG, 31 Mac 2023 – Bulan Ramadhan bulan yang penuh barakah dan rahmat. Bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua umat Islam untuk membuat amal kebaikan termasuklah memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Pada 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444 H yang lalu, satu majlis penyampaian sumbangan Ramadhan telah diadakan di Bilik Perdana 1, UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Sumbangan Ramadhan 2023 ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Bin Razali merangkap Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Sumbangan ini diberikan kepada 61 pelajar Pra Diploma yang hadir ke Program Motivasi Bersama Pengarah Pra Pendidikan Tinggi (PPT). Usai sesi motivasi, sesi penyampaian diteruskan dengan diselitkan juga sedikit ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Bin Razali.

Kesemua pelajar pra diploma menerima sumbangan telekung, sejadah, kurma serta juadah berbuka puasa. Kesemua 61 sumbangan ini adalah hasil sumbangan para pensyarah, staf serta orang awam yang berkenaan. Antara ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan majlis ini adalah Puan Suhaiza Hasan, Cik Nor Aimi Abdul Wahab, Puan Noorezal Atfiyinna Mohd Napiah, Dr Haslinda Abdul Hamid, Cik Siti Azlina Rosli daripada Jabatan Sains Gunaan dan Puan Kartini Saad serta Puan Hafizotul Akmal Johari dari bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pulau Pinang. Semoga usaha kecil ini dapat memberi 1001 manfaat kepada yang terlibat.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya. – (Q.S Al-Maidah:2)