Sumbangan ‘Kuda Kepang’ ke Daerah Bentong

Bentong, 12 Febuari 2023 – Alat pengukur ‘outdoor target buttress set-up’ atau lebih dikenali di kalangan penggiat memanah sebagai ‘Kuda Kepang’ telah diserahkan kepada Cikgu Muhammad Khairol Azuan Mat Salleh di Kejohanan Memanah Pembangunan MSSP 2022 (Kejohanan yang tertangguh tahun lepas).

Sumbangan telah disampaikan oleh En Mukhriz Mohamed, Penolong Pegawai Belia & Sukan Kanan yang juga Setiausaha Persatuan Memanah Negeri Pahang. Penghasilan alat pengukur ini adalah dengan kerjasama Pusat Pengajian Industri Perkayuan dan Persatuan Memanah Negeri Pahang (PMNP).

Alat ini digunakan untuk memastikan sasaran memanah berada pada ketinggian 130cm (+/- 5cm) dan sudut kecondongan 10-15 darjah mengikut undang-undang ‘World Archery’. Lebar tapaknya pula adalah 30 cm. Bagi memastikan Kuda Kepang ini bertahan lama, papan lapis Weather and Boil Proof Plywood (WBP) telah digunakan.

Kerjasama pasukan memanah UiTM, PMNP dan pengiat memanah di Daerah Maran ini diharap akan dapat menggalakkan lagi perkembangan sukan memanah di negeri Pahang.

Menurut En Mukhriz, sumbangan tidak berhenti di Daerah Bentong sahaja, tetapi akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain di negeri Pahang ini.

Kejohanan Memanah Pembangunan MSSP 2022 ini mempunyai 3 kategori iaitu bawah 11, 14 dan 16 tahun bagi lelaki dan perempuan. Daerah Pekan mengungguli kutipan pingat dengan dikuti oleh Daerah Bentong dan Daerah Bera.

Penglibatan Pusat Pengajian Industri Perkayuan UiTM Cawangan Pahang dalam pembangunan memanah bersama Persatuan Memanah Negeri Pahang ini sekali gus telah menyahut Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.

Secara khususnya, terdapat 17 matlamat yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang turut merangkumi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.