Sukarelawan Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023

Bandar Tun Abdul Razak Jengka, 14 Disember 2023 – Nor Farah Farina binti Nor Rahim, seorang pelajar bahagian 6 Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) telah mengambil peluang semasa latihan industri beliau melibatkan diri dengan Hari Konservasi Pulau Sembilan, Perak Darul Ridzuan pada 23 September 2023 yang lalu.   Istimewanya penglibatan beliau, program ini ditaja oleh Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. Terdapat beberapa persatuan sukarelawan telah bersama-sama dengan program ini iaitu Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Konservasi Samudera 9 Perak (Ocean 9), Pasukan Jiwa Murni daripada anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia dan pasukan penyelam Nature & Oceanography Advocate Society (NOAS) serta Sembilan Divers. Penyelam-penyelam ini adalah mereka yang bertungkus-lumus bekerjasama dalam urusan mengeluarkan sampah yang telah terpendam di dasar laut dan membawanya ke permukaan untuk dikutip oleh sukarelawan naik ke atas bot.

Nor Farah menceritakan pengalaman yang paling sukar dihadapi oleh beliau adalah pengalaman terkandas selama 4 jam di tengah laut kerana kejadian ribut dan hujan. Ekoran kejadian tersebut, Nor Farah telah demam selama beberapa hari. Menurut pihak KUASA, aktiviti mengutip sampah melalui program tersebut telah melebihi target tahunan mereka iaitu kutipan 1000 kg sampah, di mana sebanyak 2282.70 kg sampah telah berjaya terkumpul. Pembahagian jenis sampah adalah seperti berikut; 1) peralatan perikanan/marin sebanyak 1129.20 kg, 2) plastik  boleh kitar semula sebanyak 454 kg, 3) kaca sebanyak 100.50 kg, 4) aluminium/tin sebanyak 13.4 kg dan selebihnya 5) item yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 585.60 kg.

Sebagai menghargai penglibatan semua sukarelawan, Sultan Nazrin telah berkenan mencemar duli berangkat dan menyerahkan sijil penghargaan kepada sukarelawan termasuklah Nor Farah pada 7 November 2023 di Hotel Casuarina, Ipoh Perak. Aktiviti sukarelawan seumpama ini adalah usaha murni yang perlu diteruskan pada setiap tahun dan menyokong agenda Sustainable Development Goals terutamanya  agenda 14 iaitu life below water. Selain penjagaan kebersihan alam sekitar dan pulau, ianya juga memberi impak kepada ekosistem hidupan di laut seperti pendaratan penyu dan konservasi terumbu karang.  Semoga dengan adanya pelajar-pelajar program pengurusan biodiversiti ini dapat membantu penjagaan alam semulajadi walaupun dalam masa yang sama mengejar pembangunan dan teknologi di dalam negara.