Subjek Seni dan Reka Bentuk UiTM Tersenarai Dalam QS World University Rankings by Subject 2023

22 Mac 2023 – Keputusan penarafan QS World University Rankings by Subject yang disertai oleh 1594 institusi melibatkan 54 subjek meliputi 5 bidang utama telah diumumkan hari ini. Pada tahun ini, 13 subjek di Universiti Teknologi MARA telah berjaya disenaraikan daripada 3 bidang utama iaitu Sains Sosial dan Pengurusan, Kejuruteraan dan Teknologi, serta Kesenian dan Kemanusiaan.

Subjek Seni dan Reka Bentuk UiTM telah berjaya tersenarai pada kedudukan 240 terbaik untuk kali pertama dalam tempoh lima tahun sejak 2017. Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM dalam memastikan kecemerlangan pelajarnya.

Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi terus menjadi subjek UiTM yang paling kukuh dalam kedudukan 100 terbaik dunia. Subjek Kejuruteraan pula berjaya mengekalkan kedudukan 150 terbaik untuk tahun ketiga berturut-turut, begitu juga dengan subjek Seni Bina/Persekitaran Binaan yang berada dalam kedudukan 200 terbaik. Subjek lain yang tersenarai pada tahun ini ialah Perakaunan dan Kewangan, Farmasi dan Farmakologi, Undang-undang, Kejuruteraan Elektrik, Pengajian Pengurusan dan Perniagaan, Ekonomi dan Ekonometrik, Kejuruteraan Mekanikal, Perubatan, dan Sains Komputer dan Sistem Maklumat.

Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor, menyatakan kegembiraannya dengan penarafan subjek Seni dan Reka Bentuk, di samping 12 subjek yang berjaya mengekalkan kedudukannya dalam QS WUR by Subject 2023 pada tahun ini. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kolej dan fakulti yang terlibat atas usaha dan dedikasi mereka dalam memperbaiki program akademik bagi memberikan yang terbaik kepada pelajar UiTM.”

“Dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik pada peringkat global, sekadar mencapai penarafan tidak mencukupi, sebaliknya kita juga harus berusaha untuk mengekalkannya, dan mengimplikasikan komitmen sepanjang hayat ke arah kecemerlangan. Namun, saya yakin bahawa UiTM dapat mencapainya, seiring dengan usaha Malaysia dalam mencapai kemapanan dan daya cipta di bawah konsep Malaysia Madani,” katanya.

-Sumber : UiTM Global https://uitmglobal.uitm.edu.my/