Staf Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Terima Surat Sah Jawatan

TAWAU, 5 APRIL – Cik Alfera Zurhain Sairin, Pembantu Pustakawan Gred S19, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menerima surat pengesahan ke dalam perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 15 Februari 2023 yang lalu.

Penyerahan surat pengesahan pada pagi Rabu telah disampaikan oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus mewakili pihak Pengurusan Tertinggi UiTMCSH yang disaksikan oleh Pegawai Eksekutif Kanan, Encik Asmad Mohd Noor di Ruang Legar, Bangunan Menara Gemilang.

Sebagai Pembantu Pustakawan, Cik Alfera mengendalikan tugas di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan, Unit Pembangunan Bahan dan Koleksi serta perkhidmatan Information Communications Technology (ICT). Selain itu, beliau turut melaksanakan kerja memuat naik bahan arkib dalam bentuk digital melalui Archive Management System (AMS).

Ketika ditanya mengenai cabaran sebagai staf di kampus Tawau, ini reaksi beliau.

“Semasa mula-mula melapor diri bertugas, saya berasa risau dan takut memandangkan pada ketika itu kita masih lagi berada dalam fasa pandemik Covid-19 dan terpaksa duduk berjauhan dengan keluarga,” kata anak kelahiran Tuaran tersebut.

Kata Cik Alfera, selepas hampir 3 tahun berkhidmat dan berpeluang mengikuti pelbagai program UiTM sama ada di peringkat dalaman dan luaran serta sokongan dan bimbingan daripada rakan sebaya telah membantu beliau untuk menjadi lebih positif dalam tugasan dan kehidupan seharian.

Cik Alfera turut meletakkan harapan agar beliau akan terus maju dalam kerjayanya, memfokuskan kualiti perkhidmatan seperti meningkatkan perhubungan mesra dan profesional terhadap pelanggan, memperoleh ilmu pengetahuan pengurusan arkib dan rekod bagi sama-sama membantu merealisasikan aspirasi PTAR UiTM untuk menambahbaik kualiti dan mutu perkhidmatan selaras dengan hasrat UiTM mencapai matlamat sebagai “Globally Renowned University 2025” (GRU2025).

Sebagai rekod, Cik Alfera mula melapor diri pada 1 Julai 2020 bagi menggantikan salah seorang Pembantu Pustakawan yang telah menamatkan khidmat bakti di PTAR UiTMCSH Kampus Tawau.