The Marvel Camp 2023 “Team-Building And Performance Camp” Akademik Bola Sepak Felda, Malaysia

Akademik Bola Sepak FELDA, Malaysia telah mengadakan program “The Marvel Camp 2023, Team-Building and Performance Camp” yang berlangsung pada 13 Mac 2023 sehingga 15 Mac 2023 bertempat di Kampus Seremban 3, UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan I-AQUA, UPM, Port Dickson.

Program anjuran dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi, UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah disertai seramai 68 pelatih akademik yang berumur dalam lingkungan 13 tahun sehingga 17 tahun. Turut serta bersama di dalam program 6 pegawai pengurusan akademik yang dikendalikan oleh 5 pensyarah Fakulti dan 6 fasilitator yang merupakan pelajar tahun akhir di Fakulti ini.

Program berbentuk prestasi dan kerja di dalam berpasukan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan, latihan dan pemantapan kemahiran insaniah kepada pelatih–pelatih akademik. Pengisian program ini memberi keutamaan dan penekanan terhadap daya ketahanan mental, keyakinan diri, pemantapan semangat jati diri, kemahiran berinteraksi dan komunikasi berpasukan serta pengurusan diri dan masa yang berkesan. Antara intipati aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program selama 3 hari tersebut adalah seperti “command & do, human loops, rubber faces, war cry & flags, basic survival skills, kayaking dan jungle trekking”.

Majlis pembukaan dan penutupan program dilancarkan oleh Pn. Wahidah Tumijan, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi dengan turut hadir bersama YBrs. Dr. Shariman Shafie, Penolong Rektor, Kampus Seremban 3, UiTM Cawangan Negeri Sembilan.