Kolej Kediaman Teratai Membawa Aspirasi UiTM2025 Ke Padang, Indonesia

PADANG, INDONESIA – Sebagai tanda sokongan terhadap Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025, Kolej Kediaman Teratai UiTM Shah Alam telah menjalankan program Future Leader Aspiration Getaway 2023 (FLAG 2023). Program yang telah berlangsung pada 12-16 Mac 2023 yang lalu merupakan satu lawatan penanda aras ke Padang, Indonesia untuk mendengar perkongsian dan bertukar pendapat berkenaan libat urus yang efektif di antara persatuan pemimpin pelajar dan pentadbiran universiti di dalam menguruskan kebajikan, kesejahteraan dan keberkesanan aktiviti pelajar.

Dengan bimbingan Puan Rozaida Abdul Rashid iaitu Staf Residen Kolej (SRK) Kolej Kediaman Teratai/ Penolong Pengurus Asrama Kanan Unit Pengurusan Non-Resident UiTM Shah Alam merangkap penasihat program, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Kolej Kediaman Teratai sesi 2022/2023 telah berjaya merealisasikan program FLAG 2023 dengan melaksanakan lawatan ke tiga buah institusi pengajian tinggi yang berada di Padang, Indonesia. Institusi yang terlibat merupakan dua universiti awam iaitu Universitas Negeri Padang dan Universitas Andalas, dan juga satu universiti swasta iaitu Universitas Adzkia. Tanggal 12 Mac 2023 telah menyaksikan penerbangan pergi delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM ke Padang, Indonesia dalam menjayakan program FLAG 2023 tersebut.

Pada 13 Mac 2023, delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM telah memulakan lawatan mereka dengan mengunjungi Universitas Andalas (UNAND) yang sangat terkenal sebagai kampus hijau di Indonesia. Kampus ini terletak berhampiran kawasan pergunungan dan hutan simpan Sumatera Barat, Indonesia. Ketibaan delegasi ke Gedung Pusat Kegiatan Mahasiswa, UNAND telah disambut dengan tarian tradisional masyarakat minang Indonesia oleh pelajar-pelajar UNAND. Encik Khandra Fahmy selaku Direktur Kemahasiswaan UNAND telah mengetuai sambutan ketibaan delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM seterusnya memberikan ucapan alu-aluan sekali gus memperkenalkan serba sedikit berkenaan UNAND kepada pihak UiTM.

Sebagai tanda pemerkasaan mahasiswa, majlis telah diserahkan kepada wakil pelajar UNAND untuk meneruskan perkongsian dua hala bersama para pelajar UiTM tanpa penglibatan staf daripada kedua-dua universiti. Saudara Nuzrafil Ardan yang merupakan Wakil Presiden Mahasiswa Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) UNAND telah mengetuai dan memulakan majlis dengan perkongsian struktur organisasi dan kegiatan mahasiswa yang terdapat di UNAND. Seterusnya, saudara Muhammad Alif Ashraf Hamzah selaku Yang Dipertua, JPK Kolej Kediaman Teratai juga telah dijemput oleh pihak UNAND untuk berkongsi pula berkenaan Kolej Kediaman Teratai dan UiTM kepada rakan-rakan mahasiswa di UNAND. Sesi perkongsian tersebut turut diserikan lagi dengan sesi soal jawab di antara JPK Kolej Kediaman Teratai dan wakil-wakil pelajar dari pelbagai kelab dan persatuan pelajar di UNAND. Sebaik sahaja tamat sesi perkongsian, saudara Alif Ashraf juga sempat ditemubual oleh wakil pelajar dari kelab kewartawanan UNAND berkenaan aspirasi dan tujuan lawatan Kolej Kediaman Teratai UiTM ke Padang, Indonesia.

Tidak terhenti di situ, sebagai pengakhiran lawatan, wakil pelajar UNAND juga sempat membawa dan mengiringi delegasi Kolej Kediaman Teratai UiTM melawat kawasan dan fasiliti yang terdapat di UNAND. Antara kawasan yang sempat dilawati adalah perpustakaan, masjid, kawasan penternakan dan bahagian luar gedung rektorat universiti.

Bukan sahaja lawatan ke institusi-institusi pengajian tinggi, delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM turut berpeluang mengadakan satu sesi ramah mesra berbentuk majlis minum pagi bersama pihak Istana Gubernur Sumatera Barat, Indonesia pada 14 Mac 2023. Mewakili pihak Gubernur Sumatera Barat adalah Drs. Barlius, M.M. iaitu Kepala Dinas Pendidikan Sumatera Barat. Antara intipati majlis tersebut adalah penerangan serba sedikit berkenaan struktur pendidikan di Indonesia oleh Drs. Barlius dan turut diadakan perkongsian dua hala berkenaan struktur pendidikan di Indonesia dan Malaysia antara Drs. Barlius dan pihak JPK Kolej Kediaman Teratai UiTM.

Seterusnya, pada hari yang sama delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM telah meneruskan lawatan ke institusi-institusi pengajian tinggi yang berikutnya iaitu Universitas Adzkia dan Universitas Negeri Padang. Sejurus tamat majlis minum pagi di Istana Gubernur Sumatera Barat, lawatan telah diteruskan ke Universitas Adzkia. Berpandukan modul “Pendidikan Islam Terpadu”, salah satu syarat graduasi institusi ini adalah setiap pelajar diwajibkan untuk menghafal sekurang-kurangnya 1 juzuk Al-Quran iaitu juzuk 30. Menurut pihak mereka juga, Universitas Adzkia merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang agak baharu di Indonesia berbanding institusi-institusi pengajian tinggi yang lain. Oleh itu, pihak delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM yang sedari awal telah menyedari bahawa pihak UiTM dan Universitas Adzkia belum pernah lagi menjalin sebarang hubungan, telah mengambil peluang untuk mewakili UiTM dalam menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan yang lebih rasmi dan bersifat berterusan di antara kedua belah pihak.

Delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM telah membawa surat hasrat ataupun “Letter of Intent” (LOI) yang telah ditandatangan oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM. Surat hasrat tersebut telah disambut baik oleh pihak Universitas Adzkia dan suatu majlis tandatangan surat hasrat telah dilangsungkan yang menyaksikan Encik H. Trinda Farhan Satria S.T., M.T. selaku Wakil Rektor II Bidang Non Akademik Universitas Adzkia telah mewakili Universitas Adzkia untuk menandatangani surat hasrat tersebut. Sejurus tamat majlis menandatangani surat hasrat tersebut, program telah diteruskan lagi dengan sesi perkongsian dua hala di antara JPK Kolej Kediaman Teratai, UiTM bersama Majelis Permusyawaratan Mahasiwa Keluarga Mahasiswa (MPM KM) dan Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) yang diketuai oleh saudara Khairul Amru selaku Presiden Mahasiswa BEM KM Universitas Adzkia.

Bagi meneruskan program di sebelah petang, lawatan telah diteruskan ke Universitas Negeri Padang (UNP). Delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM telah disambut oleh Dr. Refnaldi, S.Pd., M.Litt iaitu Wakil Rektor I Bidang Akademik UNP. Pertemuan kedua belah pihak telah dilangsungkan di Ruang Sidang Senat, Gedung Rektorat UNP. Antara perkongsian yang telah diberikan oleh Dr. Refnaldi adalah berkenaan visi UNP iaitu untuk menjadi sebuah universiti terkemuka di Asia dan moto UNP iaitu “Learn From Nature”.

Selanjutnya, turut berlangsung perbincangan dua hala di antara JPK Kolej Kediaman Teratai bersama Majelis Perwakilan Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (MPM KM) UNP dan lain-lain wakil pelajar dari pelbagai kelab dan persatuan pelajar. Mengetuai mahasiswa UNP semasa sesi perkongsian berlangsung adalah saudara Ihsan Fauzi Akbarianto selaku Ketua Umum MPM KM UNP. Terdapat pelbagai topik yang telah dibincangkan seperti struktur organisasi kepimpinan pelajar di kedua-dua buah universiti dan juga berkenaan penempatan mahasiswa di dalam kampus. Pihak UNP menyatakan bahawa mereka merupakan sebuah universiti “Non-Based Resident” kerana terdapat keterbatasan kolej kediaman untuk pelajar menetap di dalam kampus. Oleh itu, hanya 4% dari 49000 jumlah pelajar sahaja yang akan mendapat tempat di kolej kediaman dan keutamaan diberikan kepada mahasiswa baharu.

Lawatan delegasi Kolej Kediaman Teratai, UiTM ke Padang, Indonesia turut diserikan lagi dengan kunjungan ke kawasan-kawasan bersejarah seperti Muzium Adityawarman, Batu Malin Kundang, Istano Basa Pagaruyung, Jam Gadang dan Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka. Kebanyakkan kunjungan ke kawasan-kawasan bersejarah tersebut telah berlangsung pada 15 Mac 2023 sebelum para peserta program bertolak pulang ke Malaysia pada 16 Mac 2023.

Sebagai rumusan kepada program FLAG 2023, Saudara Muhammad Alif Ashraf Hamzah selaku Pengarah Program berkata “Alhamdulillah, program FLAG 2023 ini berjalan lancar dan objektif program untuk menyokong Pelan Strategik UiTM 2025 untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025 telah tercapai. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan JPK Kolej Kediaman Teratai memperkenalkan dan mempromosikan lagi UiTM kepada sekurang-kurangnya tiga (3) buah universiti di Indonesia. Dan lebih manis lagi adalah apabila pihak delegasi berjaya membawa “Letter of Intent” (LOI) daripada UiTM kepada sebuah universiti baharu di Indonesia iaitu Universitas Adzkia, seterusnya menjadi perintis kepada hubungan baru di antara dua (2) institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa sekali gus memperkenalkan lagi UiTM di mata dunia”.