‘SSM Talk’

UiTM Puncak Alam, 24 Jun 2021- Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), UiTM Cawangan Selangor, Kampus UiTM Puncak Alam telah menganjurkan program keusahawanan yang pertama kalinya dijalankan bagi sesi 2020/2021 dan diberi nama SSM Talk. Program atas talian yang menggunakan platform Microsoft Teams ini bermula pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TD HEP) iaitu Encik Romizan Bin Jathin, serta dihadiri oleh Puan Hairena Norashikin Binti Sharip, Koordinator MASMED Fakulti Sains Kesihatan, dua orang pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan dan 85 orang peserta daripada Fakulti Sains Kesihatan (FSK). Penceramah jemputan, Puan Puteri Harnifareiza Bent Halim merupakan salah seorang Pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang juga merupakan alumni dari UiTM Shah Alam.

Program yang dijalankan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar FSK yang terlibat dalam bidang keusahawanan tentang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Tambahan pula, program ini dilaksanakan untuk memberi pengetahuan kepada para pelajar tentang prosedur dan kelebihan mendaftar di bawah SSM.

Objektif program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dalam bidang perniagaan pada masa akan datang. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk menarik minat lebih ramai pelajar untuk menjadi usahawan yang berjaya. Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk membantu para pelajar FSK yang berbisnes dari segi cara alternatif dalam mendapatkan modal kewangan untuk perniagaan mereka.

Melalui program ini, pelajar akan dibantu untuk mendapatkan peluang dari segi bantuan kerajaan untuk meningkatkan kualiti perniagaan dengan adanya Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang memberi kelebihan kepada pelajar sepenuh masa dan golongan B40. Tambahan pula, skim ini tidak memerlukan yuran pendaftaran yang dikenakan ke atas peniaga untuk tempoh 1 tahun. Sewaktu program ini berlangsung, penceramah telah memberikan maklumat-maklumat penting seperti cara mendaftar di laman sesawang SSM, dan menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh peserta. Sebagai contoh, soalan berkaitan dengan tarikh tamat perniagaan, pinjaman yang diperlukan dan akibat jika para peniaga lambat memperbaharui lesen perniagaan.

Secara keseluruhannya, pihak penganjur berharap agar program SSM Talk ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar FSK sama ada yang berniaga secara atas talian mahupun bersemuka agar mereka dapat mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM sebagai perniagaan yang telah disahkan serta dilindungi di bawah akta undang-undang perniagaan. Akhir kata, program ini telah berjaya dijalankan dan mencapai objektif yang ditetapkan serta dapat diaplikasikan dalam diri setiap pelajar. Pihak penganjur berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana program seperti ini terbukti memberi impak yang positif kepada para pelajar di Fakulti Sains Kesihatan terutama dalam bidang keusahawanan.