Srikandi Melati “Raikan Senyuman” Rumah Amal Al-Firdaus Bersama McDonald’s

DENAI ALAM, 10 Jun 2023 – Program ‘Raikan Senyuman’ Mekdi bersama Kolej Melati dengan kerjasama Pejabat ICAN telah diadakan di Rumah Amal Al-Firdaus, Denai Alam. Rumah amal yang dihuni 45 orang anak yatim dan asnaf berumur 3 hingga 6 tahun telah terpilih sebagai lokasi pada kali ini.

Program anjuran Exco Tugas Khas dan Kesukarelawanan Kolej Melati ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan ilmu sains dan teknologi kepada anak-anak ini yang disampaikan oleh para sukarelawan dari Kolej Melati. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan seperti kuiz matematik, eksperimen sains dan storytelling.

Pada program ini juga, sejumlah RM 1,500 wang sumbangan dari pelajar-pelajar Kolej Melati dan staf UiTM telah disampaikan kepada pihak rumah amal. Selain itu pihak McDonald’s Malaysia cawangan Denai Alam telah menaja sebanyak 45 hidangan Happy Meal untuk setiap anak-anak di sini. Tiada apa yang lebih bermakna selain melihat senyuman yang terukir di wajah mereka.

Selaku pengelola program, pihak Exco Tugas Khas dan Kesukarelawan Kolej Melati UiTM Shah Alam ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada McDonald’s Malaysia di atas tajaan makanan yang telah diberikan. Sekalung terima kasih juga kami ucapkan kepada Rumah Amal Al-Firdaus atas kesudian menerima kunjungan dari kami. Semoga sumbangan dan kerjasama yang telah terjalin dapat dieratkan pada masa akan datang.