”National SULAM: Golden Rules,” Mengaplikasikan Konsep ”Universiti Untuk Masyarakat”

PUNCAK ALAM, 11 Jun 2023 – Pada 6 Jun 2023 yang lalu, seramai 217 orang pelajar Tingkatan 5, SMK Puncak Alam telah menghadiri program “National SULAM: Golden Rules” yang dijalankan di Dewan Gemilang, SMK Puncak Alam. Penganjuran program ini adalah bersempena dengan National Training Week (NTW) dengan kerjasama daripada pihak Unit ICAN, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program yang dilaksanakan oleh pelajar-pelajar semester 2, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Kewangan ini merupakan tugasan projek matapelajaran Personal Financial Planning (FIN533) yang merupakan kursus SULAM fakulti, di bawah bimbingan tiga orang pensyarah, Pn Nor Akila Mohd Kassim, Encik Muhammad Abd Hadi Abd Rahman dan Cik Sharifah Nadhira Syed Sallehuddin.

Program ini dilaksanakan bagi merealisasikan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah dilancarkan pada tahun 2019 untuk menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti. Tujuan inisiatif ini adalah untuk memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti tentang ilmu berkaitan kewangan dan kesedaran tentang kepentingan menguruskan kewangan. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada para pelajar membina hubungan baik, berinteraksi dan bekerjasama secara efektif dengan wakil dari komuniti berhampiran serta memantapkan teknik berkomunikasi dengan pihak komuniti.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan didalam program ini bertumpu kepada pemantapan literasi kewangan serta pengetahuan insurans para pelajar, selaras dengan silibus matapelajaran Matematik Tingkatan 5 yang telah mereka pelajari. Aktiviti yang diadakan adalah berbentuk praktikal seperti permainan ”Are You Wise Enough?”, ”F.L.Y For Youth” dan ”Taxic Box” yang menguji pengetahuan pelajar dari sudut literasi kewangan, manakala permainan ”iPromise”, ”Insurance 101” dan ”Bottle Flip” menguji pengetahuan insurans pelajar.

Diharapkan lebih banyak program-program seperti ini dapat dilaksanakan oleh para pelajar, sebagai pendedahan awal kepada mereka terutama sekali dalam kemahiran berkomunikasi dan pengurusan program. Selain itu, para pelajar juga dapat memberikan impak yang positif kepada komuniti sekeliling terutama sekali di kawasan Puncak Alam.