Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, 26 November 2020: Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan telah mengadakan program Speaker Corner 2020. Program ini diadakan sebanyak dua sesi. Sesi yang pertama telah diadakan pada 29 Oktober 2020 dan sesi yang kedua telah diadakan pada 26 November 2020. Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa dalam pengucapan awam dan memberi peluang kepada mahasiswa untuk melontarkan idea secara terbuka serta menggalakkan mahasiswa untuk berkongsi ilmu.
Bersesuaian dengan pembelajaran norma baharu, program ini juga telah diadakan secara maya melalui platform Google Meet. Jumlah peserta bagi satu sesi Speaker Corner adalah seramai 19 orang bagi menjayakan program ini. Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) telah menghantar 3 orang wakil, dan 2 wakil daripada 8 persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan serta seorang wakil daripada kelab LENSA. Para peserta akan memberi pengucapan awam beserta hujah dan mengemukakan pendapat peribadi untuk dikongsikan secara umum. Para peserta juga dibenarkan untuk memilih tajuk pengucapan awam mereka sendiri selagi tiada isu sensitif seperti politik, perkauman atau agama dibicarakan. Oleh itu, para peserta dikehendaki untuk memaklumkan tajuk pengucapan awam masing-masing kepada ahli jawatankuasa yang bertugas bagi memastikan tiada persamaan tajuk atau perkongsian mengenai isu-isu sensitif. Masa yang diberikan adalah selama 5 minit setiap peserta.
Malahan, melalui program ini juga para peserta berjaya mengaplikasikan teknik pengucapan awam dengan baik dan berjaya menamatkan perkongsian mereka dalam masa yang telah ditetapkan. Selain itu, para peserta juga banyak berkongsi ilmu dan info yang menarik dengan menggunakan teknik penyampaian yang berbagai seperti menggunakan tayangan slide dan poster.
Hakikatnya, program Speaker Corner 2020 ini memberikan banyak manfaat kepada mahasiswa-mahasiswa kerana pihak fakulti telah menyediakan satu medium untuk menyerlahkan bakat mereka dalam pengucapan awam. Program-program seperti ini wajar diadakan dengan lebih kerap dengan harapan Fakulti Sains Kesihatan dapat mengggalakkan para mahasiswa bersikap lebih berani dan yakin, serta melahirkan mahasiswa yang berkualiti tinggi dan mampu berkomunikasi dengan baik.