Bersempena dengan program RESONANCE: PAMERAN SENI VISUAL SOLIDARITI PALESTINE, sebuah karya dalam bentuk mural; A Choice: The Wrong Side of History telah dihasilkan oleh mahasiswa Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak. Mural tersebut dijayakan hasil kerjasama pelajar dan pensyarah secara sukarela. Komitmen yang bersungguh ini telah berjaya menzahirkan sebuah mural bersaiz 5 kaki lebar kali 15 kaki panjang mengunakan bahan dakwat atas kain Calico.
Aktiviti melukis mural telah dijalankan oleh 20 sukarelawan yang terdiri dari para mahasiswa bahagian 01 KPSK, UiTM Cawangan Perak. Proses penghasilan mural ini diketuai oleh Muh Sarip Abdul Rahman, turut sama diselia oleh pensyarah-pensyarah berpengalaman dari Jabatan Art Trivium; Dr Siti Ermi Syahira, Mohamad Hafiz Yahaya, Muhammad Abdullah dan Zainon Abdullah. Semua proses penghasilan mural dimulakan pada 14 Disember 2023 dan siap sepenuhnya untuk pameran pada 16 Disember 2023. Segala proses melakar, melukis dan mewarna dijalankan di Studio Jabatan Art Trivium KPSK, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Mural terbabit telah dirancang untuk turut dipamerkan serentak dengan pameran seni visual RESONANCE: PAMERAN SENI VISUAL SOLIDARITI PALESTINE pada 16 Disember hingga 23 Disember bertempat di Kapallorek Artspace. Pameran secara fizikal ini berlangsung selama lapan hari. Pengunjung pameran dipelawa untuk sama-sama melihat dan menghayati mural tersebut. Dalam pada itu, 15 orang pensyarah Jabatan Art Trivium, KPSK, UiTM Cawangan Perak turut berkarya meluahkan daya kreativiti berpameran disamping mural yand dipersembahkan. Karya dihasilkan dikongsikan dalam bentuk catan,kolaj, instalasi, arca dan juga cetakan.
Mural ini merupakan satu simbolik sokongan dan solidariti terhadap isu di Palestine. Warga Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), akademia serta mahasiswa tidak terkecuali dari menjadi sebahagian dari insan yang turut ingin menyumbang kepakaran sesuai dengan kemampuan. Menurut Ketua Projek, Mohamad Hafiz Yahaya, diharapkan menerusi penghasilan mural ini juga, ia disasarkan dapat memberikan impak visual seterunya membangkitkan perasaan kesedaran tentang kemanusiaan dan Palestine khasnya.