Smart Coaching – Webinar Kursus Pembangunan Kejurulatihan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan 2021

Seiring dengan saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 3 (Health & Wellness) dan SDG 4 (Quality Education), Encik Mohd Zulkhairi Bin Mohd Azam, pensyarah kanan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang telah dijemput sebagai panel untuk memberi perkongsian ilmiah secara webinar yang bertajuk  ‘Smart Coaching’, yang mana adalah merupakan sebahagian daripada program khas Kursus Pembangunan Kejurulatihan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan 2021.

Program kelolaan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) itu telah berlangsung selama 2 jam dari pukul 10.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengahari. Ia telah diadakan dengan menggunakan medium di dalam talian aplikasi Google Meet. Program tersebut adalah direncana khusus untuk para jurulatih MSWP yang kini sedang giat menjalani persediaan bagi pasukan masing-masing untuk ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2021 yang bakal berlangsung beberapa bulan sahaja lagi. Sepanjang webinar tersebut berlangsung, seramai hampir 70 orang jurulatih MSWP telah menyertainya. Di samping itu, Pengarah MSWP sendiri iatu Dr. Hasnul Faizal Bin Hushin Amri juga telah turut serta menghadiri webinar tersebut.

Program yang dijalankan tersebut lebih merupakan kepada perkongsian ilmiah, agar penyampaian ilmu dan maklumat mudah difahami oleh para jurulatih. Tujuan utama program tersebut adalah untuk berkongsi akan konsep smart coaching dan fungsinya di dalam membantu mempengaruhi meningkatkan prestasi atlit melalui konsep kejurulatihan yang betul dan sistematik. Konsep ini adalah berdasarkan daripada hasil kajian-kajian saintifik serta aplikasi sains sukan secara menyeluruh di dalam bidang kejurulatihan. Antara aspek-aspek yang disentuh oleh Encik Mohd Zulkhairi adalah kaedah pelaksanaan pemantauan latihan fizikal secara maya ketika di dalam kemelut pandemik Covid-19, serta mengutamakan latihan yang spesifik mengikut kepada jenis sukan berbanding dengan latihan umum yang mana kurang memberi manfaat dan fokus kepada atlit. Selain daripada itu, aspek timbal balik yang adil berkenaan jumlah beban latihan, stres dan rehat yang secukupnya juga amat dititikberatkan supaya atlit sentiasa berada di dalam keadaan yang optimum dan kurang mendapat risiko kecederaan.

Sepanjang sesi perkongsian tersebut berlangsung, Encik Mohd Zulkhairi telah berinteraksi dengan penonton dan moderator serta menjawab setiap persoalan yang diajukan, yang mana telah membuka minda para penonton akan fungsi dan keberkesanan konsep smart coaching. Di samping itu, Encik Mohd Zulkhairi juga berkongsi hasil dapatan dari kajian-kajian saintifik dan penerapan konsep smart coaching oleh jurulatih-jurulatih di peringkat antarabangsa bagi mengukuhkan lagi kepentingannya sebagai pemangkin prestasi atlit. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat terutamanya kepada para jurulatih dan atlit untuk meningkatkan dan mempromosikan ilmu yang berkualiti berkenaan sains sukan, kesihatan dan kesejahteraan.

Susulan itu, pihak Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Mohd Zulkhairi dan juga pihak MSWP di atas kejayaan melaksanakan program tersebut. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada semua jurulatih di atas sokongan yang diberikan. Semoga program seperti ini memberi manfaat secara keseluruhannya kepada semua pihak yang terlibat, dan selamat maju jaya ditujukan kepada kontinjen SUKMA Wilayah Persekutuan bagi menghadapi SUKMA 2021 yang akan datang.