Siri Webinar “Failure Always Happen. What To Do Next?”

Unit Jalinan Industri & Alumni Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UiTM Cawangan Pahang telah menjayakan Program Webinar yang pertama bertajuk “Failure Always Happen. What To Do Next?” pada 3 Julai 2021 yang lalu. Webinar ini diadakan buat julung kalinya bersempena dengan kerjasama yang diwujudkan melalui “Letter of Understanding” (LOU) yang ditandatangani di antara Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UiTM Pahang dan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang pada November 2020.

Program webinar ini telah diadakan secara atas talian di aplikasi “Google Meet”. Program webinar bertajuk “Failures Always Happen, What To Do Next?” merupakan inisiatif bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar, para akademik dan juga industri, mengenai bidang kejuruteraan forensik apabila ketidakfungsian atau kegagalan sesuatu struktur kejuruteraan awam berlaku. Program yang bermula pada 8.30 pagi, dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mior Ahmad Redzuan, kemudian diikuti dengan ucapan kata aluan oleh Ketua Pusat Pengajian FKA, Sr Mohd Razmi bin Zainuddin. Webinar ini kemudiannya dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr Mohd Ilham Bin Adenan. Antara panel yang terlibat adalah Ts. Dr Nor Zurairahetty binti Mohd Yunus daripada UTM Johor dan Ir. Mohd Fairoze bin Mazly dari Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Panel pertama, Ts. Dr. Nor Zurairahetty telah membincangkan isu bertajuk ‘Polyurethane as Soil Improvement Alternative for Post Failure’. Manakala, panel kedua, Ir. Mohd Fairoze bin Mazly, telah berkongsi tajuk ‘Progress and Challenges of Forensic Engineering’. Semua panel dan ahli jawatankuasa program telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program diadakan. Program berakhir pada pukul 12 tengahari. Program tersebut dianggap sangat berjaya walaupun pertama kali dianjurkan oleh Unit Jalinan Industri & Alumni FKA. Hal ini kerana, ketika program berlangsung, semua 118 orang peserta yang hadir telah mendengar dengan focus sesi perkongsian oleh panel webinar dari awal program bermula sehinggalah program ini tamat. Kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah dan industri. Sesi soal jawab telah berjalan dengan rancak di antara panel dan peserta. Ini membuktikan bahawa peserta sangat berminat dengan perkongsian daripada panel.

Tidak ketinggalan juga, Prof Ts. Dr. Mohd Ilham turut serta mengajukan soalan dan memberi respon yang sangat memberansangkan. Berdasarkan maklumbalas daripada peserta, mereka berharap supaya webinar seperti ini diadakan dengan lebih kerap dan masa untuk setiap panel dipanjangkan. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.