Sinergi UiTM Tapah bersama masyarakat Tapah Road melalui program Sentuhan Kasih Jalinan Komuniti

Tapah, Perak | Seramai hampir 800 orang komuniti Tapah Road yang terdiri daripada golongan dewasa, belia dan kanak-kanak serta mahasiswa UiTM Kampus Tapah telah memeriahkan program awal cuti sekolah pada 16 Disember 2023 yang lalu.  Melalui program yang dinamakan sebagai “Sentuhan Kasih Jalinan Komuniti Tapah Road”, program ini telah dianjurkan oleh pihak Jabatan Undang-Undang dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Tapah dan Kelab Rukun Tetangga Tapah Road. Program ini berjaya dilaksanakan seawal jam 7 pagi sehingga ke 1 petang. 

Sesi pembukaan program diserikan dengan senaman pagi yang dikelolakan oleh pihak Tapah Fitness Club, sebelum masing-masing bergerak ke lokasi yang ditetapkan untuk hampir 20 acara yang dipertandingkan. Pelbagai sukan rakyat dan aktiviti yang telah dianjurkan untuk mengeratkan silaturahim antara pelbagai latar masyarakat dan kaum di sekitar Tapah Road. Antara sukan rakyat yang menjadi tarikan masyarakat termasuklah tarik upih, baling selipar, kerusi berlagu, pijak belon, dan lumba lari berpasangan. Kesemua sukan rakyat yang diadakan telah dikendalikan oleh hampir 40 mahasiswa UiTM Kampus Tapah yang sudi menjadi sukarelawan untuk bersama-sama menjayakan objektif program ini.

Aktiviti ceramah khas bersama Klinik Kesihatan dan pihak PERKESO menjadi antara pengisian berilmiah program ini, berpandukan objektif untuk berkongsi pengetahuan dan memberi pendedahan awal bersama masyarakat setempat. Aktiviti ulasan buku bersama kanak-kanak di perpustakaan desa dengan kerjasama PTAR UiTM Tapah juga antara yang memeriahkan program tersebut. Selain itu, pameran informasi bersama agensi kerajaan yang terlibat juga menjadi antara tarikan para pengunjung, antaranya pameran daripada Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, pameran misi akademik UiTM Tapah, slot Free Toys Market oleh Fakulti Perakaunan dan pejabat kesihatan daerah Batang Padang. Lebih menarik lagi, segmen demonstrasi pemadaman api kebakaran oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menggamatkan suasana pengunjung yang menyertai program ini. 

Program ini mendapat penghormatan untuk dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, YB Tuan Haji Ishsam Haji Shahruddin, serta ucapan pembukaan oleh dif tetamu kehormat UiTM, Profesor Madya Dr Alwi Mohd Yunus (Ketua Pengarah Institusi Kepimpinan Pelajar) yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Profesor Madya Sr Dr Mohd Azian Zaidi (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak), Dr Ahmad Zoolhelmi Alias (Penolong Rektor UiTM Kampus Tapah) dan semua dif-dif kehormat termasuklah sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan ketua-ketua kampung sekitar Tapah Road kerana sudi untuk meluangkan masa bagi menghadiri program kemasyarakatan pada kali ini. 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Program, Dr Farihana Abdul Razak (Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang UiTM Kampus Tapah) atas curahan idea, tenaga dan komitmen untuk menjayakan program sebegini, sekaligus mendidik para mahasiswa untuk sentiasa menyantuni masyarakat dengan baik. Juga, terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Safri (Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Tapah Road), dan Puan Nur Salwana bt Muldan (Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Tapah) atas kesudian untuk memberi sokongan yang baik seawal program ini dirancang sehingga ke penghujungnya.

Akhir kata, program bersama masyarakat seumpama ini mampu memberikan impak positif kepada warga setempat tentang peranan UiTM dalam menyantuni komuniti sekitar dengan lebih baik. Rata – rata pengunjung berasa gembira dan berpuas hati dengan pelbagai aktiviti yang diadakan. Diiharapkan agar program sebegini dapat ditambahbaik dan diteruskan pada masa yang akan datang.