Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam menghargai sumbangan dan jasa Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail kepada dunia kewartawanan di Malaysia menerusi penganjuran Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan pada 15 Januari 2024. Majlis yang diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan dihadiri kira-kira 150 tetamu yang terdiri daripada pengamal media, ahli akademik dan penuntut UiTM.

Simposium yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC – IIUM) bertujuan membincangkan pemikiran dan sumbangan tokoh kewartawanan negara ini dalam konteks sosio-politik Malaysia.

Simposium ini menampilkan tokoh yang dikenali ramai seperti Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; kartunis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih popular sebagai Datuk Lat; dan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-IIUM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican yang berkongsi pelbagai perspektif mengenai A Samad atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad.Turut berkongsi pandangan adalah sembilan pembentang lain terdiri daripada para ilmuan, pengamal media, penulis dan mantan pelajar yang berpengalaman berhubung, bekerjasama dan melakukan penyelidikan dengan A Samad sepanjang hayatnya.

Dalam ucapan perasmiannya, Musa antara lain mengimbas kembali sumbangan dan jasa A Samad Ismail kepada dunia kewartawanan negara khususnya mengenai penubuhan The New Straits Times Press (M) Berhad.Beliau berkata menjelang tahun 1965, sejurus perpisahan Malaysia dengan Singapura, A Samad sudah membayangi kewartawanan dan surat khabar, malah satu kekuatan media nasional ketika ahli politik dan cerdik pandai masyarakat masih dilamun dengan suasana negara baharu pasca Singapura.

“Beliau (A Samad) melihat perpisahan Straits Times dengan penubuhan New Straits Times bertempat di Kuala Lumpur, bukan Singapura. Menjelang 1965, ramai dari pemberita lamanya berada dalam Kabinet dan berhubung rapat dengan Tun Razak (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein), Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. “Pada tahun 1972, Samad yang masih menjadi Pengarang Berita Harian, dengan bantuan Abdullah Ahmad (Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad), ketika itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tun Razak, dan Tengku Razaleigh Hamzah telah memaksa para pemilik The Straits Times, Singapura, menjual sebahagian sahamnya di Kuala Lumpur kepada warga Malaysia. Syarikat baharu milik warga Malaysia itu dinamakan The New Straits Times Press (M) Berhad,” katanya.

Menurut Musa, inilah antara legasi besar A Samad dan pemilikan itu harus dikekalkan. “Kebebasan yang ada pada awalnya dalam Kumpulan surat khabar tersebut, liputan, ulasan dan kewartawanan yang berkualiti mesti dikembalikan. Atas semangat itu, nama A Samad Ismail mesti dikekalkan dan salah satunya yang sesuai ialah mengasaskan sebuah Kursi Pengajian Kewartawanan A Samad Ismail. Kursi ini boleh dikendalikan oleh Universiti Teknologi MARA. Samad terlibat sebagai salah seorang tenaga pengajar pada masa awal penubuhan Kajian Sebaran Am (kini FKPM). Kursi tersebut melanjutkan usaha dan semangat Tan Sri A Samad Ismail dalam memartabatkan kewartawanan negara. Kursi tersebut juga merupakan lambang kepada kesinambungan wawasan A Samad Ismail, yang mendahului zaman ketika hayatnya,” katanya.

Dalam ucapannya, Dekan FKPM Prof. Madya Dr. Abd Rasid Abd Rahman pula berkata, penganjuran wacana ilmu seperti simposium ini adalah sebahagian daripada fungsi fakulti dalam konteks memaklumkan khalayak dan memberikan sarana ilmu kepada massa secara berterusan secara ilmiah dan berautoriti. “Dalam menyorot latar kewartawanan tempatan, nama seperti Abdul Rahim Kajai, Ahmad Boestamam dan A Samad Ismail perlu diberi penghargaan negara atas segala jasa bakti mereka. Kemelut zaman yang penuh pancaroba telah dilalui oleh mereka dengan tabah menyalakan obor perjuangan bangsa melalui tinta pena. “Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan aspirasi bagi menjayakan penghormatan terhadap figura kewartawanan negara ini dengan mengusulkan penubuhan Kursi A Samad Ismail. Kami percaya ini adalah masa yang paling sesuai untuk pihak fakulti memuktamadkan cita-cita besar ini,” katanya. Penganjuran Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, dan Negarawan turut mendapat sokongan rakan strategik, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Press Forum of Asia (PFA) dan PTAR, UiTM Shah Alam.