Sesuci Ramadan Sebening Syawal 2023

Program Sesuci Ramadan Sebening Syawal 2023 Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR) Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Tarikh : 13 April 2023
Masa : 8:00 – 1:00 tgh hari
Tempat: Anjung Khazanah Alam (Pelepasan konvoi di Lobi Pentadbiran) UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Alhamdulillah, Di bulan yang mulia ini iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) di bawah Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Universiti (USR) telah mengambil kesempatan untuk berkongsi rezeki bersama-sama dengan penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan (asnaf) di sekitar bandar Jengka iaitu Rantau Perintis dan Taman Jengka Impian. Sumbangan yang berbentuk bakul makanan dengan nilaian RM100.00 setiap bakul mengandungi makanan seperti pes kuah kacang, biskut raya, kerepek, ketupat dan nasi impit nona dan kordial minuman. Selain itu, di atas dasar keprihatinan dan cakna, pihak PPPG juga turut mengadakan aktiviti bersama dengan penerima iaitu sesi perkongsian kata-kata semangat dan motivasi serta pengalaman hidup bersama-sama dengan penerima agar mereka tetap terus bersemangat dalam menempuhi kehidupan mereka dan dipermudahkan segala urusan di masa akan datang.InshaAllah.

Seramai 20 orang penerima sumbangan yang terlibat dan nama penerima ini diperolehi dari Pusat Zakat, MUIP, Cawangan Jengka Pahang. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Yg. Berusaha Prof. Madya Dr. Hjh. Nazirah binti Ramli Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik mewakili Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor, UiTM Cawangan Pahang diiringi oleh Jawatankuasa-jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Turut hadir bersama ialah Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR) PPPG dan pensyarah-pensyarah PPPG bagi sama-sama menjayakan program ini.
Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR), Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan sentiasa mengadakan program Khidmat Masyarakat bagi memenuhi kriteria KPI fakulti iaitu program atau aktiviti Tanggunggjawab Sosial Universiti (USR) untuk memberi manfaat kepada komuniti dan industri luar dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan) serta SDG 2 (kelaparan sifar). SDG 1 bertujuan menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana, manakala SDG 2 bertujuan mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.

Perasmian program ini telah berakhir pada pukul 9:20 pagi dengan perlepasan konvoi oleh Yang Berbahagia Prof. Madya. Dr. Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) di Lobi Pentadbiran dan diiringi oleh Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan semoga kita mendapat berkat darinya. InshaAllah.