Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ (Siri 8), Bahagian Pentaksiran Dan Penilaian Akademik

Pada 5 Julai 2021, BPPA telah mengadakan Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ Siri 8 yang disampaikan oleh Encik Mohd Roslan Pungut, Pegawai Eksekutif Kanan melalui platform Google Meet. Sesi ini dimulakan pada jam 9.30 pagi.

Tajuk yang disampaikan oleh Encik Mohd Roslan adalah Proses Kemasukan Markah di Bahagian Penilaian dan Pentaksiran Akademik (BPPA) iaitu proses memasukkan markah pelajar selepas 14 hari keputusan peperiksaan rasmi diumumkan. Mesyuarat Jawatankuasa Pembetulan Pengemaskinian Keputusan Peperiksaan (JPPKP) akan membincangkan beberapa perkara iaitu Pembetulan Keputusan Peperiksaan Pelajar, Pengemaskinian Keputusan Peperiksaan Pelajar dan Rayuan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan Pelajar (RSS).

Dalam sesi perkongsian ini juga Encik Roslan menerangkan Proses Penerimaan di BPPA melibatkan menerima borang pembetulan markah pelajar yang dihantar oleh Fakulti/UiTM Cawangan/Pusat, membuat analisa jumlah kes daripada permohonan yang dihantar dan membawa masuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Pembetulan Pengemaskinian Keputusan Peperiksaan (JPPKP). Seterusnya urusetia mesyuarat akan membuat analisa kes seperti kesilapan pensyarah, pelajar, sistem, pentadbiran dan sebagainya. Kemudian, minit mesyuarat disediakan untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penilaian Akademik (JKIPA).

Encik Roslan juga memberi penerangan tentang cara beliau memasukkan markah iaitu dengan perlu memasukkan ID Staf dan password ke Student Information Management System (SIMS), kemudian memasukkan markah pelajar dan menjana pengiraan CGPA.

Warga BPPA juga diberi penjelasan berkenaan borang-borang yang digunakan semasa proses kemasukan markah iaitu Borang Pembetulan Keputusan Penilaian Akhir, Borang Pengemaskinian Keputusan Penilaian Akhir dan Borang Rayuan Penyemakan Semula Keputusan Penilaian Akhir.

Program Sembang Ofis Kita Siri 8 berakhir pada jam 10.15 pagi. Semoga sesi perkongsian kali ini dapat memberi pendedahan dan kefahaman kepada semua warga BPPA tentang proses sebenar sistem kemasukan markah di BPPA.