Sesi Sembang Ofis Kita (Siri 18) BPPA

Satu sesi taklimat berkaitan dengan Sistem Log Kerja UiTM telah diadakan pada 22 November 2021 bagi mengisi slot sesi “Sembang Ofis Kita” Siri 18 BPPA melalui platform Google Meet. Taklimat bermula pada jam 10.00 pagi dan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad, Pengarah BPPA.

Taklimat telah disampaikan oleh Encik Zamani Umar Husin selaku Timbalan Ketua Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Infosruktur, PPII. Tujuan taklimat ini diadakan adalah bagi memberi pengenalan dan penerangan lanjut khususnya kepada staf BPPA.

Sistem Log Kerja UiTM ini diwujudkan sebagai platform untuk memudahkan staf di semua peringkat gred jawatan merekod dan mengemaskini aktiviti/rutin kerja harian. Selain itu, ia memberi kemudahan kepada pihak PTJ khususnya penyelia memantau arahan tugas dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh staf di bawah seliaan mereka, menyediakan repositori dan pangkalan data berpusat log kerja staf yang boleh akses pada bila-bila masa dan menjadi sumber rujukan pihak PTJ dalam merancang operasi harian, mengurus sumber manusia, mengenalpasti keperluan peningkatan kompetensi staf dan sebagainya. Sistem ini juga bertindak sebagai platform pelaporan berkaitan status kemajuan aktiviti warga kerja bagi PTJ yang berkenaan.

Dalam sesi taklimat Encik Zamani telah menyatakan terdapat tiga modul utama iaitu Skrin Utama, Info Log Kerja dan Laporan. Modul Skrin Utama menyediakan kemudahan untuk staf merekod dan melihat senarai log kerja yang telah didaftarkan. Pengguna boleh membuat carian log kerja khusus bagi tujuan kemaskini atau menghapus rekod tertentu.

Bagi modul Info Log Kerja pula menyediakan kemudahan untuk pengguna sistem memapar perincian dan mengemaskini butiran daftar log kerja serta memuatnaik dokumen rujukan berkaitan bagi rekod sedia ada. Modul yang terakhir iaitu modul Laporan, menyediakan kemudahan kepada penyelia dan staf mendapatkan statistik bilangan log kerja mengikut Tahun, Bulan, Struktur Hirarki PTJ (jabatan, bahagian, unit) dan Staf. Data Log Kerja boleh dimuat turun oleh pengguna system untuk tujuan pelaporan dan analisis seterusnya.

Encik Zamani juga menerangkan tentang Faedah Penggunaan Sistem Log Kerja kepada staf, penyelia dan kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ). Seterusnya beliau memberi panduan bagaimana proses pengurusan log kerja, langkah dan cara penggunaan.

Sesi taklimat berakhir kira-kira pada jam 12.00 tengah hari. Ucapan penutup sekali lagi disempurnakan oleh Pengarah BPPA, Prof. Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Zamani atas kelapangan masa menyampaikan taklimat dan mengharapkan semua warga BPPA dapat memahami dengan lebih jelas panduan Sistem log Kerja UiTM yang telah diberi untuk digunapakai dalam masa terdekat di BPPA.