Sesi Sembang Ofis Kita (Siri 16), Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan ‘Sesi Sembang Ofis Kita Siri 16’ pada 20 September 2021. Pada sesi kali ini yang bertajuk Pengurusan Stres Semasa Bekerja Dari Rumah (BDR), BPPA telah menjemput Pegawai Psikologi dari Pusat Kerjaya & Kaunseling UiTM, Encik Muhammad Iman Hafeez Mukhatar sebagai penceramah.

Seramai 27 orang peserta telah mengikuti program ini yang berlangsung selama satu (1) jam secara dalam talian melalui platform Google Meet. Program dimulakan dengan ucapan aluan dan sedikit latar belakang ringkas Encik Iman oleh Puan Siti Rafidah Mohamed Anuar.

Pada permulaan program para peserta telah diminta untuk menjawab sebanyak 21 soalan (DASS Test). DASS Test ialah panduan untuk mengenalpasti simptom dan sebagai indikator awal sama ada para peserta memerlukan rawatan kesihatan mental atau tidak. Para peserta telah diberikan link untuk menjawab soalan yang diberikan dan perlu menandakan pada skala yang disediakan dalam keadaan dua (2) minggu yang lalu.

Dalam pada itu, program ini juga membawa sedikit pengisian tentang perkongsian maksud stres iaitu tindak balas individu terhadap suatu peristiwa yang berlaku yang memerlukan individu tersebut membuat penyesuaian dalam dirinya atau persekitarannya. Para peserta juga diterangkan dengan takrif stress iaitu situasi atau perkara yang menganggu kehidupan seharian. Jika seseorang itu mampu sesuaikan diri, dipanggil (eustress) positif dan jika seseorang itu tidak mampu sesuaikan diri, dipanggil (distress) negatif. Proses tindak balas secara fizikal, mental dan emosi kepada sesuatu keadaan yang menganggu ketenangan atau kestabilan seseorang. Tanpa stres kita tidak dapat berfungsi secara berkesan kerana ketahanan fizikal, mental dan emosi yang kuat akan menyebabkan kita lebih bermotivasi dan mampu melaksanakan kerja dengan baik.

Bersesuaian dengan tema yang dibawa, penceramah juga berkongsi tips untuk mengatasi stress iaitu dengan membuat self-care check list agar dapat memahami dan mengaplikasikan pengurusan stress.

Program Sembang Ofis Kita Siri 16 ini sedikit sebanyak dapat menjadi sebuah program yang mampu untuk meningkatkan semangat para warga BPPA dengan memahami konsep dan senario stres dalam kita menghadapi BDR dan membentuk budaya kecemerlangan di dalam organisasi.