Sesi Perjumpaan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM dan Pengurusan InQKA

Shah Alam – Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros telah meluangkan masa untuk sesi perjumpaan bersama Pengurusan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) pada 7 Julai 2023. Perjumpaan ini julung kali diadakan sebagai salah satu platform untuk pihak InQKA mengetengahkan inisiatif kualiti yang dilaksanakan di samping menampakkan peranan penting InQKA secara menyeluruh dari aspek kualiti akademik dan kualiti pengurusan UiTM. Pengerusi memberikan maklum balas bahawa intipati sesi perjumpaan ini akan dibincangkan dengan Ahli Lembaga Pengarah yang lain untuk mengenalpasti ruang-ruang penambahbaikan.

YBhg. Prof. Dr. Azizah Abdullah, Penolong Naib Canselor InQKA telah membentangkan peranan dan fungsi InQKA serta struktur Tadbir Urus Kualiti yang digunapakai dalam memastikan ketelusan membuat keputusan bermula di peringkat operasi, eksekutif mahupun strategik. Antara intipati lain yang turut dibincangkan adalah peluang menyediakan kursus elektif di peringkat diploma. Pihak InQKA telah membentangkan struktur program diploma mengikut Garis Panduan Pembangunan Program Akademik Universiti Awam yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan juga standard program.

Sesi perjumpaan ini juga turut membincangkan cadangan penawaran program sedia ada yang diberi nama “Premium Outlet Program (POP)” yang dipilih berdasarkan kepada populariti program. Di samping itu, cadangan penawaran program secara kerjasama dengan universiti luar negara telah dibentangkan sebagai inisiatif yang boleh diletakkan di bawah MoU sedia ada di antara fakulti dengan universiti luar negara.

Sesi perjumpaan dengan Pengerusi LPU ini telah memberikan maklum balas yang sangat positif bukan sahaja dari aspek peningkatan kualiti malahan isu berkaitan penyenaraian program akademik dan kos yang terlibat juga menjadi perhatian utama dalam sesi ini. Pengerusi telah memohon agar pihak InQKA melihat amalan universiti lain di seluruh dunia dalam aspek pelaksanaan pengiktirafan program akademik.

Di akhir perjumpaan, Pengerusi LPU memohon agar perbincangan dengan MQA dapat dilaksanakan untuk memudahcara pengurusan program akademik universiti. Pihak InQKA amat berterima kasih kepada Pengerusi LPU, Naib Canselor UiTM serta semua Pengurusan UiTM yang sentiasa memberi sokongan padu kepada InQKA dalam menjamin kualiti UiTM secara keseluruhannya.

Galeri Gambar: