Sesi Perjumpaan Bersama Rektor (Taklimat Dan Tadbir Urus)

MACHANG, 29 Februari – Pihak Pengurusan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan yang terdiri daripada Rektor, Timbalan Pendaftar Kanan dan Timbalan Bendahari telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Rektor (taklimat dan tadbir urus) berkenaan langkah penjimatan elaun lebih masa dan kemudahan staf UiTM Cawangan Kelantan bagi tahun 2024 bertempat di HRD (A). Seramai 80 orang hadir dalam sesi ini bagi tujuan membincangkan langkah penjimatan perbelanjaan staf UiTM Cawangan Kelantan.

Program dimulakan dengan ucapan Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi selaku Rektor UiTMCK yang menyampaikan pesanan dari Naib Canselor mengenai usaha untuk memartabatkan diri sebagai staf UiTM dan beliau juga menerangkan apa kesan positif dan negatif yang akan dihadapi dengan keadaan ekonomi pada masa kini. Beliau juga menggalakkan staf sokongan untuk memberi pandangan kepada pihak pengurusan dalam memastikan semua pihak memahami konsep dan tujuan diadakan perjumpaan pada kali ini. Staf sokongan memberikan maklum balas yang baik dan segala maklumat yang diterima akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Universiti yang akan datang.

 

Program diteruskan dengan taklimat integriti oleh Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan UiTMCK. Beliau menekankan dan mengingatkan kepada semua supaya memahami ESI dan iDART agar semua staf dapat membudayakan nilai-nilai murni yang telah digariskan dan ditetapkan oleh Universiti serta mencapai sasaran GRU (Globally Renowned University) 2025. Beliau juga menegaskan kepada semua agar jangan sesekali melakukan kesalahan integriti kerana banyak kesan buruk dan negatif yang akan dikenakan kepada staf yang didapati bersalah. Selain itu, salahlaku integriti juga boleh membawa ke arah tindakan buang kerja.

Secara keseluruhan, program berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas yang baik daripada para staf yang hadir.