MoU dan MoA Antara UiTM Cawangan Kelantan dan Sekolah Dasar Darul Hikam

MACHANG, 28 Februari – Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dengan kerjasama Unit ICAN Bahagian PJIA, UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) & Memorandum Perjanjian (MoA) bersama dengan Sekolah Dasar Darul Hikam, Bandung Indonesia.

Telah berlangsungnya Majlis Mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM Cawangan Kelantan bersama dengan Sekolah Dasar Darul Hikam yang merupakan sebuah sekolah agama swasta yang bergerak di bawah Yayasan Darul Hikam, Indonesia.

 

MoU dan MoA ini telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi (Rektor) dan disaksikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, (Timbalan Rektor PJIA) bagi mewakili UiTM Cawangan Kelantan, manakala bagi pihak Sekolah Dasar Darul Hikam pula ditandatangani oleh Ibu Ruri Sundari (Pengetua) dan disaksikan oleh Ibu Yeti Nurhayati (Penolong Pengetua Hal Ehwal Akademik).

Antara intipati MoU ini adalah untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama dua hala antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Sekolah Dasar Darul Hikam dalam bidang akademik, kesenian dan kebudayaan. Manakala Memorandum Perjanjian (MoA) adalah tertumpu kepada Bengkel Seni Cetakan Mini yang memfokuskan kepada aktiviti pemindahan ilmu seni dan kreativiti serta peningkatan psikomotor dalam berkarya kepada para pelajar Sekolah Darul Hikam.

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan terdiri daripada Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha, (Timbalan Rektor PJIA), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, (Koordinator ICAN), Encik Shahrul Hisham Ahmad Tarmizi, Puan Siti Safura Zahari, Puan Nur Fatiyah Roslan pensyarah KPSK. Selain itu, 5 orang mahasiswa dari KPSK UiTM Cawangan Kelantan juga turut hadir dalam sesi keterjalinan perjanjian MoU melibatkan dua organisasi bagi dua negara dalam bidang akademik, kesenian dan kebudayaan.