Sesi Penyerahan ‘Mock Cheque’ di UiTMCK Kampus Machang: Digit360 Sdn. Bhd. Syarikat Pemula UiTM

MACHANG, 30 Julai – Bahagian Penyelidikan, Jaringan lndustri & Alumni telah menganjurkan majlis penyerahan ‘mock cheque’ daripada pihak syarikat DIGIT360 Sdn. Bhd. kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang untuk pembelian kerusi batu di ruang santai kolej kediaman pada 25 Julai 2023. Majlis tersebut berlangsung di Foyer Pentadbiran, UiTMCK Kampus Machang, acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Rektor UiTM Cawangan Kelantan.

Sebanyak 33 buah set kerusi batu yang disumbangkan kepada pihak UiTMCK bakal diagihkan ke kolej kediaman dan sekitar UiTMCK Kampus Machang. CEO syarikat DIGIT360 Sdn. Bhd. telah menyerahkan ‘mock cheque’ bernilai RM5,060 kepada Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan.

Dalam ucapan pembukaan, Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi menyampaikan rasa bangganya terhadap pencapaian syarikat pemula UiTM (Start-up Company) yang belum cukup setahun penubuhannya telah mampu memberikan sumbangan yang besar kepada UiTM.

Syarikat pemula ini adalah syarikat pemula yang pertama bagi UiTM Cawangan Kelantan. Prestasi syarikat yang sangat memberangsangkan telah mendapat sambutan kerjasama daripada agensi-agensi dalam dan luar negara. Kekuatan utama syarikat adalah terletak kepada beberapa sistem dan aplikasi yang telah dibangunkan dan dipatenkan bersama UiTM.

Syarikat ini telah menjalankan beberapa pertandingan inovasi dan rekacipta secara atas talian dan ianya telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dalam negara mahupun luar negara. Terdapat satu lagi acara terakhir yang bakal berlangsung pada tahun ini, Malaysia Grand Invention Expo (MaGIEx). Pertandingan ini dijadualkan bakal berlangsung pada Ogos sehingga November 2023. Peluang ini terbuka kepada semua warga pendidik, pengamal industri dan juga para pelajar.

Selain itu, syarikat ini juga dalam proses mengembangkan perniagaan dalam bidang latihan (training). Antara latihan yang bakal dijalankan ialah latihan berkaitan pengendalian pengurusan majlis, aplikasi serta rekacipta. Sebuah pusat latihan bertaraf moden sedang disiapkan di Harmoni Square Tanah Merah Kelantan yang mampu memuatkan peserta sehingga 50 orang.