AWS Essential: Building a Foundation for Cloud Computing

Komputasi awan atau “Cloud Computing” adalah penyampaian perkhidmatan komputasi seperti pemprosesan, pelayan, simpanan data, pangkalan data, rangkaian, perisian, analitik, dan kecerdasan, melalui internet untuk menawarkan inovasi yang lebih cepat, sumber daya yang fleksibel, dan kelebihan ekonomi melalui ekonomi skala. Daripada memiliki infrastruktur komputer atau pusat data sendiri, para pembangun boleh menyewa dan menggunakan akses dari aplikasi sehingga simpanan data, daripada penyedia perkhidmatan awan. Justeru, para pembangun dapat mengurangkan kos awal dan kompleksiti memiliki dan menyelenggara infrastruktur IT sendiri. Salah satu penyedia perkhidmatan awan ialah Amazon Web Services (AWS).  Amazon Web Services, Inc. merupakan anak syarikat Amazon yang menyediakan platform dan API komputasi awan atas permintaan kepada individu, syarikat, dan kerajaan, berdasarkan pembayaran mengikut penggunaan. Seringkali, pelanggan akan menggunakan perkhidmatan ini bersamaan dengan penyesuaian automatik skala.

Satu program bertujuan memberi pendedahan berkenaan penggunaan AWS kepada pelajar Diploma Sains Komputer UiTM Cawangan Pahang telah dilaksanakan. Program ini dapat memberi pendedahan dan pemahaman kepada pelajar dalam pembangunan aplikasi dan web dengan menggunakan komputasi awan. Program “AWS Essential: Building a Foundation for Cloud Computing” ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Program ini telah berlangsung selama 2 jam bermula dari jam 8 malam sehingga jam 10 malam pada 4 Julai 2023 (Selasa) melalui aplikasi webex. Program ini diadakan sebagai salah satu inisiatif “Technology Update” bukan saja kepada pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) malah para pensyarah Pengajian Sains Pengkomputeran, KPPIM di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Jumlah keseluruhan peserta bagi program ini ialah seramai 180 orang iaitu 163 orang pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) dan 17 orang pensyarah dari Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Para peserta telah menerima pelbagai input dan perkongsian yang telah disampaikan dengan jayanya oleh penceramah jemputan dari Renalworks Malaysia Sdn Bhd iaitu En. Mohamad Bathulah Bin Mohamad Mahir yang merupakan Technical Leader di syarikat berkenaan. Penceramah juga merupakan alumni UiTM. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam membangunkan projek-projek berkaitan AWS.

Antara input dan topik perkongsian adalah berkenaan dengan asas penerapan aplikasi PHP ke dalam AWS Elastic Beanstalk. Dengan melaksanakan beberapa langkah, aplikasi PHP ini akan mudah serta cepat untuk dibangunkan dan dijalankan melalui komputasi awan. Selain daripada itu, penceramah juga menerangkan konsep asas komputasi awan, seni bina AWS, keselamatan dan pematuhan, pengurusan dan penyimpanan pangkalan data, rangkaian dan skalabiliti. Penceramah juga menerangkan dan menunjukkan penggunaan Github sebagai salah satu langkah untuk membangunkan aplikasi secara komputasi awan. GitHub ialah sebuah platform dan perkhidmatan berasaskan awan untuk pembangunan perisian dan kawalan versi menggunakan Git justeru dapat membantu dan membolehkan pembangun untuk menyimpan dan mengurus kod mereka.

Penceramah juga telah menunjukkan demo penggunaan AWS dan Github ini bermula dari langkah asas sehingga ke deployment of the developed applications. Penceramah juga menunjukan contoh coding yang digunakan dan cara untuk setup AWS environment sebelum membangunkan web application dengan menggunakan AWS Cloud ini. Melalui latihan praktikal, contoh-contoh praktikal dan demo yang ditunjukkan, pelajar akan mempelajari konsep asas dan amalan terbaik dalam menggunakan perkhidmatan AWS secara efektif.

Kebanyakan peserta memberikan penilaian positif terhadap penceramah dan pelaksanaan program ini. Program ini dapat mendedahkan pelajar kepada pembangunan sesuatu aplikasi dengan menggunakan komputasi awan justeru dapat memiliki kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan perkhidmatan AWS dan secara yakin melalui ekosistem AWS. Selain itu, program ini juga adalah sebagai persiapan diri untuk menghadapi dunia pekerjaan dan juga pembangunan ilmiah di kalangan pelajar. Diharapkan program anjuran Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub ini dapat memberi impak yang sangat positif kepada semua pelajar terutamanya pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) dan pensyarah Sains Komputer. Diharapkan juga, pelajar dan pensyarah mendapat gambaran dan maklumat terkini dalam bidang teknologi komputasi awan dengan menggunakan AWS serta dapat mengembangkan penggunaannya dalam projek inovasi dan rekacipta.

Galeri Gambar: