KOTA KINABALU, 8 Disember 2023 – UiTM Cawangan Sabah berbesar hati menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Prof. Datuk Dr Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin dan Sesi Naib Canselor bersama Warga UiTM di Dewan Al Bukhari, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah.
Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed mengucap syukur di atas rezeki serta keberuntungan Warga UiTM Cawangan Sabah dapat bersama Naib Canselor pada kali ini kerana Cawangan Sabah merupakan sesi yang pertama Naib Canselor bersama warga kampus cawangan sejak pelantikan pada 2 November 2023. Bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun UiTM Cawangan Sabah, sebagai kampus cawangan sulung sejak penubuhan UiTM, warga UiTM Cawangan Sabah disarankan untuk melihat semula sejarah penubuhan kampus dan tujuan utama penubuhan supaya ianya selari dengan perancangan strategik dan kecemerlangan universiti.
Antara intipati Sesi Naib Canselor bersama Warga UiTM Cawangan Sabah adalah Konsep 3R (Royal, Religion and Race). Pemerkasaan keistimewaan masyarakat tempatan yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya harus diraikan, didokumenkan dan diperkenalkan keseluruh dunia. Keistimewaan UiTM Cawangan Sabah bermula dengan kepelbagaian bahasa, budaya, bangsa dan agama tetapi dapat hidup harmoni melalui kebersamaan yang seterusnya membantu pencapaian kecemerlangan UiTM Cawangan Sabah. Warga UiTM Cawangan Sabah disarankan untuk menerima tugas dan tanggungjawab, amanah sebagai Staf UiTM, mematuhi peraturan berkuatkuasa dan menghormati kepimpinan dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Warga UiTM Cawangan Sabah sentiasa memberi nilai positif untuk memperbaiki nilai dan memberi ilmu untuk menambah baik ilmu sedia ada serta menambah ilmu baharu supaya kekal relevan dan berjaya.
Warga UiTM Cawangan Sabah juga diminta untuk berkongsi kepakaran dengan masyarakat setempat bagi membangun masyarakat dan penduduk Negeri Sabah kuhususnya, bak kata pepatah, jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar, tidak akan berbau – ilmu/kepandaian hendaklah diajar/ dikongsi dengan orang lain, kerana jika disimpan, akan hilang begitu sahaja.