Sesi Kunjungan Hormat PTAR Kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah mengadakan sesi kunjungan hormat kedua pada 7 April 2022 hari Jumaat bertempat di Dewan Seminar, Kolej Mawar. Sesi kunjungan kali ini telah menghimpunkan seramai 24 orang wakil PTAR dan pejabat HEP.

Majlis yang bermula tepat jam 9 pagi ini telah dimulai dengan ucapan Timbalan Naib Canselor HEP, YBhg. Profesor Dr. Mohd Sazili bin Shahibi. Dalam ucapannya YBhg. Prof. amat mengalu-alukan kunjungan hormat PTAR dan berharap akan terhasil program usahasama antara PTAR dan pejabat HEP. Turut disentuh iaitu fungsi PTAR sebagai pusat pengumpulan maklumat dan rujukan warga universiti.

Kunjungan hormat ini diteruskan dengan sesi taklimat dan perkongsian maklumat yang telah disampaikan oleh empat orang wakil PTAR.

Ketua Timbalan Pustakawan PTAR, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman terlebih dahulu menyampaikan ucapan penghargaan atas kesudian Pejabat HEP menerima kunjungan hormat PTAR yang bermatlamat mengeratkan hubungan kerjasama antara PTAR dan Pusat Tanggungjawab. Beliau turut berkongsi inisiatif perkhidmatan perpustakaan seperti waktu pembukaan, Book Delivery Services (BDS), PTAR Books on Wheel, program Read@UiTM, keahlian luaran dan perkhidmatan Chat with Librarian.

Sesi perkongsian maklumat Kelas Kemahiran Maklumat, PhD Clinic dan sistem PRIMe telah disampaikan dengan baik oleh Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, Ketua Bahagian Penyelidikan, Pembelajaran dan Rujukan PTAR.

Ts. Tuan Haji Azizi bin Jantan telah menyampaikan perkongsian mengenai Perpustakaan Digital, UiTM. Penyampaian yang amat berkesan ini meliputi komponen perpustakaan digital, personalised education, kemudahan Wi-Fi, My Knowledge Management, UiTM Digital Library Apps, UiTM Institutional Repository, Cashless@Library dan kemudahan e-Sport. Tidak ketinggalan kemudahan Virtual and Augmented Reality (AR/VR) yang bertujuan menyokong proses penyelidikan dan pembelajaran khususnya penggunaan teknologi dalam pendidikan. Inisiatif Jabatan Perancangan dan Pembangunan Perpustakaan pula telah disampaikan oleh Ts. Tuan Haji Azizi bin Jantan. Empat perkara yang menjadi tumpuan perkongsian iaitu perkhidmatan Pangkalan Data Atas Talian, sumbangan derma atau hadiah untuk kemudahan PTAR, sumbangan bahan hadiah dan inisiatif wakaf buku.

Sebelum sesi perkongsian berakhir, Encik Abdul Razak bin Abdul Rahman telah menyampaikan perkongsian penting mengenai penerimaan rekod penting universiti, kempen derma koleksi Galeri Tun Abdul Razak, Online Finding Archive (OFA), UiTM e-Gallery Repository dan Khazanah Melayu Repository.

Sejumlah lima maklumbalas telah diterima oleh PTAR, antaranya daripada Encik Abdul Rahim Abdul Majid, Timbalan Pendaftar, Unit Kemudahan Kolej. Beliau mengalu-alukan cadangan mewujudkan ruang perpustakaan di kolej-kolej kediaman UiTM agar perkhidmatan perpustakaan dapat dimanfaatkan sepanjang masa oleh golongan pelajar.

Encik Muhammad Shah Ali yang bertindak selaku pengacara telah menzahirkan ucapan penghargaan atas sesi yang telah berlangsung dengan lancar.

Di akhir sesi, Encik Jamalludin dan Profesor Dr. Mohd Sazili telah saling bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda penghargaan oleh kedua belah pihak.