Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sekali lagi telah melakar sejarah apabila menganjurkan program Quantity Surveying Virtual Presentation 2.0 (QSVP 2.0) dengan norma baharu pada 12 Julai 2021. Seramai 219 orang pelajar telah terlibat dan dibahagikan kepada 24 kumpulan di mana mereka dibantu oleh 13 orang fasilitator yang terdiri dari para pensyarah Pusat Pengajian Ukur Bahan sendiri. Program ini telah menjemput 24 orang panel penilai terdiri daripada pelbagai latar belakang yang sememangnya pakar dan berpengalaman dalam industri pembinaan. Panel penilai perlu menghakimi hasil kerja para pelajar seterusnya berkongsi ilmu dan pandangan yang berguna sebagai pemain industri. Pembentangan bagi dua kumpulan setiap sesi telah berlangsung selama 2 jam. Di acara penutup, pemenang yang telah mengumpul tiga markah tertinggi telah diumumkan dan sijil penghargaan telah diberikan kepada mereka.
Sesi pembentangan yang dibuat secara maya adalah melalui sesi paralel di mana setiap sesi dihakimi oleh 2 orang panel industri, 1 moderator dan 2 kumpulan pelajar. Pada semester ini, para pelajar telah diberikan tugasan yang lari dari kebiasaan iaitu menyiapkan cadangan pembangunan bagi projek infrastuktur. Cadangan pembangunan ini perlu dilaksanakan bermula dari tahap kajian awalan sehingga anggaran keuntungan projek tersebut diperolehi. Para pelajar perlu mengaplikasikan semua ilmu yang telah dipelajari daripada pelbagai subjek dari semester-semester sebelumnya. Di samping itu, para pelajar perlu mendapatkan data daripada badan kerajaan mahupun pihak kontraktor bagi memastikan cadangan pembangunan tersebut lengkap dan bersesuaian dengan keadaan terkini industri pembinaan.
Sr Dr Azmi Mohamed @ Mohd. Adnan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia, selaku salah seorang daripada panel penilai memuji hasil kerja para pelajar yang dapat memenuhi keperluan soalan dengan baik walaupun dalam keadaan pandemik. Sr Nik Hasbi Fathi dari Quantum Surveyors Sdn. Bhd. turut menekankan kerjasama amat perlu untuk meningkatkan mutu kerja selain pembentangan dapat meningkatkan tahap keyakinan diri para pelajar. Selain itu, En Faizal Azwandy Norzaman dari Majlis Amanah Rakyat berharap sesi integrasi ilmu dapat memberikan pengetahuan baharu dan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar.
Kesemua panel penilai sangat bertenaga dan bersemangat dalam sesi perkongsian ilmu bersama para pelajar. Mereka merasakan ini adalah salah satu kaedah untuk menyumbang kepada anak bangsa terutamanya kepada para pelajar di Pusat Pengajian Ukur Bahan, FSPU, UiTM. Sebahagian besar daripada panel penilai ini terdiri daripada alumni UiTM sendiri. Program pembentangan maya seperti QSVP 2.0 ini memberi alternatif baharu kepada para pelajar dan pensyarah dalam sesi perkongsian ilmu bersama pemain industri. Ia membuka lebih peluang dan ruang yang dapat digunapakai dan sudah pasti ianya fleksibel.