AKNC : Total Involvement oleh Semua Warga Kampus antara Faktor Kejayaan UiTM Cawangan Perak

Ketua Unit Kualiti, UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya Mohd selaku salah seorang panel jemputan Program Sharing Session AKNC 2021 telah turut sama berkongsi mencurahkan ilmu dan pengalaman sepanjang melibatkan diri dalam penulisan dan pengurusan AKNC. Penglibatan Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya dalam penulisan AKNC adalah sejak 2005, justeru, beliau berpengalaman luas dan tidak asing lagi dalam mengendalikan AKNC. UiTM Cawangan Perak telah menjuarai AKNC sebanyak empat kali bagi Kategori Juara Keseluruhan dan enam kali sebagai Juara Peringkat Cawangan.

Pembudayaan AKNC di UiTM Cawangan Perak
Menurut Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya, dalam membudayakan AKNC di UiTM Cawangan Perak, apa yang paling utama ialah penglibatan secara menyeluruh (total involvement) oleh staf dan pelajar dalam pelbagai aspek. Penglibatan secara menyeluruh ini turut membabitkan penambahbaikan atau kemajuan berterusan (continuous improvement). Bagi memastikan penambahbaikan dan kemajuan berterusan, pihak Pengurusan UiTM Cawangan Perak sentiasa menekankan aspek amalan budaya kerja berkualiti di kalangan semua warga agar kualiti penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Cabaran-cabaran dalam penulisan laporan AKNC
Selanjutnya, Prof Madya Sr. Dr. Thuraiya menerangkan tentang cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjayakan AKNC. Pertama, cabaran untuk menghasilkan penulisan kreatif. Beliau menjelaskan bahawa pada awalnya beliau menghadapi kesulitan dalam memahami penulisan kreatif dan kesukaran memastikan kesinambungan setiap konsep penulisan bagi memenuhi kriteria penilaian. Namun, setelah kefahaman telah dicapai, penulisan kreatif dapat dihasilkan mengikut kriteria yang digariskan.

Manakala cabaran kedua pula ialah data. Data yang diterima daripada pelbagai sumber kadangkala tidak memenuhi kriteria yang diberikan dan menjadi cabaran penulis untuk menterjemah data kepada bentuk penulisan. Seterusnya, cabaran ketiga iaitu pembuktiaan. Menurut Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya, terdapat pencapaian yang tidak dapat dipersembahkan kerana tiada pembuktian yang konkrit yang mana sangat penting dalam penulisan bagi memenuhi kriteria penilaian.

Best practices dalam penulisan AKNC
Dalam perkongsian amalan terbaik, beliau menjelaskan bahawa pemilihan bidang tumpuan yang tepat merupakan amalan utama yang dipraktikkan oleh UiTM Cawangan Perak. Bagi memilih bidang tumpuan yang tepat, terdapat pelbagai peringkat yang harus dilalui seperti meneliti pencapaian tahunan, memilih pencapaian yang signifikan, mengenalpasti kekuatan dan mengadakan simulasi pemarkahan. Amalan terbaik seterusnya ialah menggunakan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) sebagai platform penambahbaikan pengurusan kualiti setiap peringkat. Bagi mengumpulkan data yang mempunyai format seragam, UiTM Cawangan Perak telah membangunkan template MKSP yang mengandungi format berdasarkan AKNC.

Sokongan padu daripada pengurusan atasan pula merupakan amalan terbaik seterusnya di UiTM Cawangan Perak. Sokongan pengurusan yang jitu bukan sahaja hanya untuk AKNC malah dalam pelbagai aspek adalah tunggak kekuatan bagi memotivasikan semua warga untuk terus mengamalkan budaya kerja berkualiti dan melancarkan pentadbiran organisasi. Sementara itu, Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya menjelaskan bahawa latihan intensif turut diberikan kepada penulis laporan AKNC bagi memantapkan penulisan dan meraikan semua warga yang terlibat setelah meraih kemenangan sebagai pengiktirafan. Amalan-amalan terbaik yang telah dinyatakan sentiasa dipraktikkan oleh warga UiTM Cawangan Perak bagi mencapai kecemerlangan organisasi.

Harapan
Kecemerlangan keseluruhan warga sesebuah organisasi merupakan aspek penting dalam meraih kejayaan bukan sahaja AKNC malah pelbagai bidang yang lain. Justeru itu, Prof. Madya Sr. Dr. Thuraiya berharap kecemerlangan warga UiTM Cawangan Perak, khususnya dan keseluruhan UiTM, amnya, dapat diteruskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja di peringkat dalam negara, malah di peringkat antarabangsa jua.