Sukarelawan UiTM Pulau Pinang dan Kedah Jahit PPE

Dalam menghadapi wabak COVID-19, kelengkapan pelindung diri atau Personal Protective Equipment (PPE) adalah merupakan satu keperluan utama bagi petugas kesihatan barisan hadapan. Melihat kepada keperluan berterusan, beberapa orang kakitangan UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dan seorang kakitangan UiTM Cawangan Kedah (UiTMCK) telah terlibat sebagai sukarelawan untuk membantu menjahit PPE.

Pasukan sukarelawan UiTM ini diketuai oleh Pn Che Noriah Othman yang merupakan Ketua Unit SBU UiTMCPP bersama penyertaan Dr. Norrina Din, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTMCPP, Encik Mohd Zaini bin Endut, pensyarah kanan Fakulti Kejuteraan Awam UiTMCPP dan Puan Nurul Hayani binti Abd Rahman, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTMCK.

Projek menghasilkan PPE ini diketuai oleh Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) USM Bertam yang turut bekerjasama dengan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (NGO). Kakitangan UiTM yang terlibat juga melahirkan rasa syukur dan berbangga kerana dapat turut sama membantu menjahit kelengkapan pelindung diri walaupun secara khususnya tidak bertugas di barisan hadapan untuk menangani Covid-19.

PPE yang dihasilkan ialah gaun labuh, penutup kepala dan penutup kasut telah berjaya disiapkan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PPE ini telah diedarkan kepada beberapa kumpulan petugas barisan hadapan dan juga kepada kakitangan kementerian kesihatan. Walaupun graf jangkitan telah menunjukkan peratus penurunan, namun PPE ini masih terus diperlukan dan digunakan ketika proses saringan di pusat kuarantin warga asing dan individu yang baru sampai dari luar negara. Set PPE juga masih diperlukan untuk kegunaan di makmal diagnostik perubatan yang menjalankan ujian pengesanan Covid 19.