Memorandum Persefahaman (MoU) Diantara UiTM Dan Dasatim Sdn Bhd : Persefahaman Bagi Mengembangkan Bidang Pertanian Negara

SABAH, Kota Kinabalu, 12 Jun, 2020 –  Satu majlis ringkas buat pertama kalinya telah dianjurkan secara maya melalui Zoom Meeting dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Rasmi Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) UiTM Cawangan Sabah. Majlis dianjurkan untuk menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Dasatim Sdn. Bhd. Majlis secara maya ini dilangsungkan bagi menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh kerajaan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos 2020 dan dalam usaha penuh universiti untuk turut sama membendung dan memutuskan penularan jangkitan Covid-19.

UiTM Cawangan Sabah di bawah pengurusan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) telah melaksanakan pelbagai usaha dan gerakan untuk turut sama mengorak langkah dalam memastikan industri pertanian dan perladangan negara terus menyumbang kepada peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Antaranya adalah dengan melaksanakan pelbagai penyelidikan dalam sektor pertanian dan bergerak seiring bersama industri yang terus berkerja keras untuk memastikan  sektor pertanian negara terus produktif dalam memenuhi keperluan makanan rakyat di negara ini dan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan eksport. Antara inisiatif terkini yang dilaksanakan adalah dengan menguatkan lagi jalinan bersama industri iaitu bersama Dasatim Sdn. Bhd. melalui satu memorandum persefahaman yang telah dipersetujui antara dua pihak yang terlibat.

Memorandum ini bertujuan untuk memperkukuh, mempromosikan dan mengembangkan kerjasama akademik, budaya dan penyelidikan antara para pihak atas dasar persamaan dan faedah bersama. Antaranya adalah pertukaran staf, penerimaan pelajar sarjana dan siswazah untuk tempoh pengajian dan / atau penyelidikan, menganjurkan  simposium, persidangan, kursus pendek dan perjumpaan mengenai isu penyelidikan; pertukaran maklumat mengenai perkembangan dalam pengajaran, pengembangan pelajar dan institusi penyelidikan; saling mempromosikan maklumat dan aktiviti dan kerjasama dalam bidang lain yang berkaitan. Datasim Sdn Bhd. yang merupakan syarikat bumiputera tempatan terus berkerja keras dalam membantu untuk meningkatkan produktiviti hasil-hasil pertanian untuk keperluan Negara. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Mohd. Noor Ismail yang merupakan alumni UiTM dalam ucapannya pada majlis ini, syarikatnya telah berjaya menghasilkan produk yang dinamakan sebagai Kitosan, yang telah digunakan oleh para petani di seluruh negara. Fokus kajian membangunkan serta penggunaan produk ini telah mampu menyelesaikan masalah pertanian yang dihadapi oleh para petani seperti kurangnya hasil pertanian, kos input dan pekerja yang tinggi serta harga pasaran barangan produk yang tidak stabil. Selain daripada itu, jalinan ini juga amat penting dalam menghasilkan para graduan dalam bidang pertanian  dan perladangan yang sudah siap dengan pelbagai ilmu dan kepakaran untuk meneruskan legasi pertanian di negara ini. Pelbagai kajian awal melibatkan pensyarah dan pelajar UiTM Cawangan Sabah telah dilaksanakan melalui kerjasama antara dua pihak dalam usaha menambahbaik lagi pengeluaran pertanian di kalangan petani-petani tempatan. Kajian-kajian ini telah dijalankan di bawah seliaan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Sabah, Ts. Dr. Hendry Joseph.

Menurut Datuk Prof. Madya Abdul kadir bin Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah dalam ucapan alu-aluan beliau, menyatakan bahawa UiTM selaku institusi pendidikan tinggi banyak terlibat secara langsung dengan komuniti. Dengan jalinan ini, UiTM sangat berbesar hati untuk mengajak pihak-pihak yang mempunyai hala tuju yang sama dalam memastikan proses pengembangan ilmu dan pembangunan masyarakat dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat. Serentak itu, dengan kepakaran dan kemahiran yang terdapat di UiTM dan juga Dasatim, UiTM amat berharap agar kita dapat memberi manfaat kepada komuniti selaras dengan halatuju universiti untuk memasyarakatkan universiti. Ianya bagi memastikan, ketampakkan universiti akan terus relevan dalam pembangunan komuniti ataupun masyarakat. UiTM amat bekeyakinan bahawa usaha ini mampu untuk mengurangkan jurang di antara universiti dan komuniti, di mana kepakaran akademik yang dikumpulkan di gedung ilmu ini akhirnya akan menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosioekonomi masyarakat.

UiTM juga sentiasa menggalakkan ahli akademik meneroka bidang penyelidikan, inovasi, penerbitan dan konsultansi baharu di bawah kategori geran industri-komuniti yang jarang diperolehi. UiTM berharap melalui usaha ini, ahli akademik, khususnya di UiTM Cawangan Sabah dapat mengambil peluang untuk mengembangkan lagi kepakaran dan seterusnya dapat dapat dijadikan sebagai pakar rujuk oleh masyarakat khasnya kepada mereka yang dalam bidang berkaitan agroteknologi. Seterusnya adalah menjadi harapan semua agar UiTM dapat dimartabatkan sebagai universiti keusahawanan sosial terunggul dengan memacu inisiatif-inisiatif berteraskan pembangunan sosio-ekonomi dan pembasmian kemiskinan dalam kalangan B40.

Dalam pada itu, menurut Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Datasim Sdn Bhd, penubuhan syarikat ini mempunyai hala tuju yang jelas dalam membangunkan bidang pertanian berteknologi terkini dengan menggembleng kepakaran bukan sahaja dalam bidang pertanian, malah merangkumi bidang kejuruteraan awam, mekanik, pengurusan, biotek, biokimia, geologi, komputer dan sebagainya. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran di bidang pertanian dalam memastikan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi. Dalam usaha ini, Dasatim Sdn. Bhd. telah memilih untuk meningkatkan kerjasama bersama UiTM. Jalinan ini mensasarkan untuk mengeluarkan lebih banyak produk-produk hasil inovasi terutamanya dalam bidang pertanian terutamanya untuk meningkatkan hasil pengeluaran yang berlipat kali ganda. Ratusan ribu graduan yang dihasilkan oleh UiTM saban tahun, Datasim Sdn. Bhd. juga berhasrat untuk memberikan kemudahan di kalangan mereka untuk terlibat sebagai usahawan pertanian. Pelbagai peluang pertanian masih lagi terbuka pada masa kini, kerana Malaysia masih belum mencapai kadar 100 peratus dalam kebergantungan kendiri dalam bidang pertanian bagi menampung keperluan makanan di negara ini.

Majlis secara maya ini adalah anjuran Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) UiTM Cawangan Sabah diketuai oleh Dr. Sharifah Nurafizah Syed Annuar, Timbalam Rektor PJIM&A.