Semarak Siswa Madani Selangkah Ke Universiti: UiTM Cawangan Pulau Pinang Menyantuni Komuniti Penaga dan Bertam

Pada tanggal 21 Jun 2023, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah melancarkan inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Program semarak Siswa Madani. Melalui inisiatif ini, KPT akan membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti. Sehubungan dengan itu, UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama KPT telah berjaya mengadakan Program semarak Siswa Madani dengan menyantuni komuniti Penaga dan Bertam di Pulau Pinang. Program telah berlangsung selama dua hari yang mana ia bermula 15 Julai 2023 yang diadakan di SMK Dato’ Haji Hassan Noh, Penaga dan pada 16 Julai 2023 program dijalankan di SK Hashim Awang, Bertam.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya ialah program selangkah ke universiti, lukisan mural madani, bengkel asas vokal dan tarian, bengkel asas fotografi, bengkel penampilan diri, bengkel tik-Tok usahawan digital, permainan sukan rakyat, klinik bola sepak, perlawanan persahabatan bola sepak, pertandingan e-sport, kelas dan pertandingan memasak makanan sihat serta pemeriksaan kesihatan percuma. Kesemua aktiviti ini melibatkan kerjasama antara pihak universiti dan komuniti setempat.

Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Pulau Pinang turut terlibat dengan mempromosikan program pra diploma UiTM kepada para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sesi selangkah ke universiti ini amat bermakna kerana ia memberi peluang kedua kepada pelajar lepasan SPM daripada komuniti Penaga dan Bertam untuk mengambil peluang menyambung pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui program pra diploma.

Hal ini amat bertepatan dengan misi dan visi program PPT yang mana tujuan utama program PPT adalah untuk mengambil pelajar – pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan SPM yang kurang menepati syarat-syarat keperluan UPU dari golongan B40 dan juga bukan B40 agar kesemua mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sememangnya mereka mempunyai peluang yang cerah untuk meneruskan pengajian ke peringkat pra diploma UiTM. Calon-calon yang memohon dan memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengisi kemasukan Oktober 2023.

Sepanjang dua hari program, ramai pelajar lepasan SPM dan ibu bapa yang hadir bagi mendapatkan info-info terkini berkaitan peluang pengajian ke universiti. Turut hadir dalam program ini adalah En Kaliyapan a/l Rajakumaran, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik KPT dan Profesor Madya Dr. Ts. Basharudin bin Abdul Hadi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Galeri Gambar: