Semai Kesukarelawanan Melalui Program Good Virtues Co. Do-Good Challenge

Semangat kesukarelawanan perlu disemarakkan dikalangan mahasiswa selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang menekankan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh. Ini adalah untuk melahirkan warganegara Malaysia yang menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Di atas kepentingan ini, UiTM dengan rakan kerjasamanya Good Virtues Co. (GVC) dan Malaysian Youth Community (MYC), berkolaborasi menganjurkan pertandingan Do-Good Challenge. Pertandingan ini menjadi wadah pelajar menunjukkan idea yang inovatif dalam menyelesaikan permasalahan sosial yang dihadapi oleh negara. Pelajar UiTM dipelawa untuk mengambil bahagian dalam menangani isu-isu tersebut seperti yang berkaitan dengan aspek pendidikan, kesihatan, kemanusiaan dan alam sekitar. Pertandingan ini dijalankan bermula dari bulan Oktober 2022 sehingga April 2023 dan dibahagikan pada lima fasa.

Fasa pertama bermula dari bulan Oktober hingga Disember 2022 melibatkan aktiviti jelajah kampus di semenanjung Malaysia untuk memperkenalkan pertandingan ini kepada pelajar dan menjemput mereka untuk menghantar idea berkaitan aktiviti kemasyarakatan yang mahu dilaksanakan. Kemudian, 25 pelajar dengan idea projek kemasyarakatan yang inovatif akan dipilih untuk menyertai bengkel selama dua hari di fasa kedua pada bulan Januari 2023. Satu sesi pembentangan idea ‘Shark Tank Session’ akan berlangsung di fasa ketiga pada bulan Februari 2023. Manakala di fasa keempat pada bulan Mac 2023, 5 pelajar yang terpilih akan diberi peluang untuk merealisasikan idea mereka dan menerima pembiayaan sebanyak RM8000. Fasa terakhir yang dijadualkan berlangsung pada bulan April 2023 akan menyaksikan pemilihan pemenang dengan idea terbaik di kalangan 5 pelajar dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 30,000.

Semoga dengan penyertaan pelajar di dalam pertandingan ini dapat menyemai rasa prihatin dikalangan pelajar UiTM dan menjadi pemangkin untuk mereka terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan.