Fakulti Pendidikan, 20 Oktober 2023- Pembukaan semester Sesi Oktober 2023 memupuk iltizam yang baru dalam diri setiap pelajar sebagai satu titik tolak dalam transformasi ke arah kendiri pelajar yang lebih proaktif. Di bawah pimpinan Encik Mohamad Hisyam Ismail, Penasihat Persatuan SEEDS dan juga Pensyarah Kanan Pendidikan Sains dan Encik Muhamad Furkan Mat Salleh, Koordinator Program Pendidikan Sains, satu perjumpaan bersama pelajar Program Pendidikan Sains (Biologi, Fizik dan Kimia) telah diadakan di DK500, Fakulti Farmasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada 9 Oktober 2023. Antara agenda penting perjumpaan adalah bagi meraikan pelajar baru Semester 1 Oktober 2023, pemakluman mengenai hal akademik dan program pendidikan sains, sekaligus taklimat hala tuju SEEDS sepanjang semester ini.
Perjumpaan SEEDS ini turut juga diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Nabilah Abdullah, Pengarah Pusat Kepimpinan Akademik, Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) dan Dr. Nurshamsida Md. Shamsudin dan Dr. Al’aina Yuhainis Firus Khan, Pensyarah Kanan Pendidikan Sains. Taburan pelajar mengikut program menyaksikan program Pendidikan Sains (Biologi) dengan jumlah pelajar yang tertinggi iaitu 258 orang diikuti program Pendidikan Sains (Fizik) dengan seramai 214 orang pelajar dan program Pendidikan Sains (Kimia) dengan 188 orang pelajar. Jumlah bilangan pelajar Pendidikan Sains yang besar meyakinkan para pensyarah yang hadir bahawa pelajar Pendidikan Sains berupaya menyumbang idea dan tenaga sekaligus mengharumkan nama fakulti dan UiTM dalam segenap aspek.
Di kesempatan itu juga, warga SEEDS mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris dan Prof. Dr. Nabilah Abdullah atas kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) disertai acara pemotongan kek di atas pentas. Seterusnya, nama para pelajar yang mendapat GPA tertinggi bagi setiap kumpulan (Biologi, Fizik dan Kimia) juga turut dipaparkan sebagai penghargaan atas usaha mereka dan bagi menyuntik semangat pelajar yang lain.
Perjumpaan diakhiri dengan pemilihan Majlis Tertinggi SEEDS baharu bagi sesi hadapan agar dapat melatih ketersediaan mereka sebelum memegang tampuk kepimpinan. Sebarang cadangan mahupun penambahbaikan mengenai SEEDS amat dialu-alukan dan boleh disalurkan melalui mesej ke Instagram SEEDS: @seeds_palam.