Sambutan Hari Jururawat 2023: Perkongsian Ilmu Sambil Berkhidmat Kepada Warga UiTM

BERTAM, 20 Jun 2023 – Pada 9 Jun 2023 (Jumaat), bersempana Hari Jururawat Sedunia pada tahun ini, Program Kejururawatan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Bertam telah mengadakan Seminar Hari Jururawat Sedunia 2023 dan Program Saringan Kesihatan khas untuk warga UiTM Kampus Bertam. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Penang Nursing Student Association (PeNSA) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Bertam.

Dua orang penceramah telah dijemput bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan perkembangan terbaru tentang dunia kejururawatan. Penceramah pertama ialah Puan Vimala Devi a/p Subrayan, mantan Pengerusi Malaysian Nurses Association (Cawangan Pulau Pinang) dengan ceramah berkaitan komunikasi jururawat. Ceramah kedua pula disampaikan oleh Pensyarah Kanan UiTM Kampus Bertam, Encik Muhammad Amin Ahmad Zaki berkaitan halatuju kerjaya dalam profesion kejururawatan. Seminar yang diadakan secara hibrid ini dihadiri oleh lebih 87 orang pelajar-pelajar dan staf kejururawatan secara bersemuka dan telah mendapat lebih 300 views di Facebook.

Bagi Program Saringan Kesihatan pula, antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan tekanan darah dan nadi, pemeriksaan paras gula dalam darah, pengukuran BMI, demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara dan saringan tahap kesihatan mental. Turut dijalankan ialah program derma darah yang dikendalikan oleh Unit Tabung Darah Hospital Kulim. Seramai lebih kurang 66 orang yang terdiri daripada staf dan pelajar telah menjalani saringan kesihatan dan 22 orang telah menderma darah.

Dengan penganjuran seminar ini diharapkan dapat memberikan maklumat dan pengetahuan yang terkini tentang kerjaya jururawat dan cabaran yang bakal dihadapi sebagai jururawat dan pelajar kejururawatan. Program saringan kesihatan yang dijalankan pula sedikit sebanyak dapat membantu warga UiTM Kampus Bertam mengetahui tahap kesihatan mereka disamping para pelajar kejururawatan dapat mempraktikkan ilmu-ilmu dan kemahiran yang telah diajar kepada mereka. Selain itu, sambutan Hari Jururawat Sedunia ini juga dapat mengeratkan silaturrahim dan meraikan semua jururawat UiTM Cawangan Pulau Pinang tidak kira pensyarah, jururawat klinikal (CI), jururawat di Unit Kesihatan serta pelajar kejururawatan serta menghargai sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.