Kunjungan Hormat UiTM ke Arkib Negara Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – Satu perjumpaan antara Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg Dato’ Jaafar Sidek bin Haji Abdul Rahman dan kumpulan pengurusan daripada Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) Universiti Teknologi MARA telah diadakan pada 6 Jun 2023 di Arkib Negara Malaysia. Pihak Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) diwakili oleh Penolong Naib Canselor, Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Dr Khairulnizam Zaini, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Prof. Madya Ts Dr Safawi Abd Rahman, Koordinator Jaringan Alumni, Puan Sanizah Ahmad, Koordinator Jaringan Komuniti, Dr Husain Hashim, Ketua Pusat Pengajian Sains Maklumat dan Prof. Madya Dr Irwan Kamaruddin Abd Kadir, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Maklumat.

Prof. Ts. Dr Haryani telah menyampaikan matlamat dan tujuan kunjungan hormat ini iaitu untuk membincangkan hala tuju hubungan kerjasama antara Arkib Negara Malaysia dan Pusat Pengajian Sains Maklumat yang telah terjalin selama lebih dari lapan tahun. Selain itu, ia merupakan sesi suai kenal pengurusan Arkib Negara Malaysia dan pengurusan baharu pihak KPPIM. Pelbagai perkara telah dibincangkan bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua belah pihak. Antaranya perbincangan khusus untuk memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) yang akan berakhir pada 15 Disember 2023 serta pelbagai cadangan bagi penambahbaikan tadbir urus jalinan kerjasama yang sedia ada.

Pihak KPPIM amat berbangga dengan graduan dari Pusat Pengajian Sains Maklumat yang juga merupakan antara tenaga profesional yang paling ramai berkhidmat di Arkib Negara Malaysia, selain bertugas sebagai pengawai kader di jabatan-jabatan kerajaan. Kerjasama yang utuh juga dilestarikan dengan latihan profesional kepada pelajar-pelajar UiTM melalui latihan industri. Selain itu, pelbagai sumber bermanfaat juga diperolehi bagi memperkasakan kursus- kursus yang ditawarkan oleh program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Rekod. Justeru, Prof. Ts. Dr Haryani juga telah berbesar hati mengemukakan cadangan agar YBhg Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai peneraju utama industri dalam aspek perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman untuk mempertingkatkan pengiktirafan dan kesedaran di kalangan masyarakat serta sektor awam dan swasta ke atas bidang Pengurusan Rekod dan Arkib. Ini juga adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan Arkib Negara Malaysia dalam pembangunan dan pengembangan berterusan kurikulum program Pengurusan Rekod selari dengan keperluan sebenar industri.

Tambahan lagi, program-program kerjasama seperti penganjuran Hari Arkib Antarabangsa, konferensi peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan digarap bagi mengukuhkan kolaborasi antara kedua belah pihak. Perjumpaan berkala akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membincangkan hal-hal berkaitan dan memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dan memberikan impak yang maksima kepada UiTM dan Arkib Negara Malaysia.