SAMBUTAN AIDILFITRI 2023 UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU KUKUHKAN SILATURAHIM

TAWAU, 24 Mei 2023 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023, bertempat di Kafeteria Kolej Kediaman Pelajar pada 17 Mei 2023 yang lalu.

Sambutan sederhana namun penuh makna ini telah diserikan dengan kehadiran Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling bersama-sama semua warga UiTMCSH Kampus Tawau yang terdiri daripada staf akademik dan staf pentadbiran, staf vendor serta turut meraikan semua pelajar program Pra Diploma Perdagangan Semester Mac – Ogos 2023.

Terlebih dahulu, majlis telah menjemput Encik Sulaiman Halim untuk memimpin bacaan doa agar majlis dapat berjalan dengan lancar. Selesai bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan raya Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling.

Dalam ucapannya, Koordinator Kampus mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiri dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang hadir, termasuklah Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis, tetamu jemputan, pihak vendor serta para pelajar yang turut menyumbang tenaga mahupun wang ringgit bagi menjayakan majlis sambutan pada kali ini. Koordinator Kampus turut mengingatkan agar setiap warga untuk saling mewujudkan semangat kekeluargaan, saling bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Aidilfitri kali ini menjadi kesempatan terbaik untuk saling melupakan perselisihan dan persengketaan dalam menjalankan tugas masing-masing, seterusnya mengukuhkan kerjasama di kalangan warga UiTMCSH Kampus Tawau.

“Adalah menjadi harapan saya agar sambutan Aidilfitri kali ini akan merapatkan hubungan silaturrahim, mengeratkan ukhwah serta dapat mengukuhkan semangat kebersamaan semua warga”, ujar Tuan Haji Muliyadi.

Seterusnya, majlis turut diimarahkan dengan tazkirah Syawal yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Surjan Sirajudi yang bertajuk Makanan dan Kesan Pemakanan menurut Perspektif Islam. Memulakan bicara, beliau berkongsi makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara kedua-duanya ada benda-benda yang syubahah.

“Salah satu kenikmatan dunia adalah makanan yang lazat. Namun, itu bukan bermakna anda boleh makan apa sahaja. Pemakanan yang tidak sihat atau tidak terkawal hanya akan mengundang kemudaratan kepada tubuh badan”, kongsi Tuan Haji Surjan.

Sebelum menjamu selera, majlis diserikan dengan penyampaian “Hamper Raya” kepada 4 anggota Polis Bantuan, iaitu Encik Ahmad Fajreen Bedu Rohman, Encik Nur Muhammad Wastie, Encik Zuhaili Maman dan Encik Azwan Kamin sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah bertugas semasa 1 Syawal 1444 H yang lepas.

Selain juadah hari raya yang biasa dihidangkan, tetamu turut dijamukan dengan menu masakan tempatan Tawau seperti Burasak, Ayam Nasu Likku dan Tumbuk.