LAWATAN AKADEMIK PELAJAR UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU BERI PENDEDAHAN INDUSTRI SAWIT

TAWAU, 18 MEI 2023 – Seramai 27 pelajar Program Pra Diploma Perdagangan, Semester Mac – Ogos 2023, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau bersama 6 pensyarah telah mengadakan lawatan akademik ke Seeds Production Unit (SPU), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd.

SPU adalah merupakan Unit Pengeluaran Benih tanaman kelapa sawit yang terletak di Balung, Tawau, Sabah dan telah berjaya mengeluarkan 6 juta biji benih bercambah kelapa sawit setahun. Kualiti benih adalah terjamin dan diperakui oleh SIRIM dan MPOB dan mendapat pengiktirafan MS ISO 9001: 2000.

Melalui program ini, para pelajar dapat mengetahui secara terperinci tentang aktiviti dan operasi yang dijalankan khususnya melibatkan strategi pemasaran pengeluaran benih semasa sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Pengurus SPU, Puan Hajah Zuraini Shahrudin.

“Setakat ini, SPU telah berjaya membekalkan benih sawit kepada pelanggan di dalam dan luar negara. Pelbagai jenis benih mengikut permintaan pelanggan telah dihasilkan dengan kerjasama MPOB dan “Sabah Breeding Program”, kongsi Hajah Zuraini.

Sementara itu, Nuur Rabiatul Adawiyah, berpendapat lawatan ini dapat menyediakan platform kepada semua pelajar untuk mengetahui fungsi setiap unit yang terdapat di SPU di samping dapat membantu pelajar untuk memahami topik-topik yang diajar di dalam kursus Introduction to Business (MGT028).

Manakala, Muhammad Haikal Ajla Mohd Shahrizal, berpendapat pengalaman yang diperolehi dapat membantunya untuk mengenalpasti cabaran dan risiko sekiranya ingin terlibat di dalam dunia perniagaan.

“Pada masa kini, kita dapat lihat bidang perniagaan telah banyak diceburi oleh golongan muda dan dilakukan secara sambilan untuk menambah pendapatan. Namun, sebagai pendatang baharu dalam bidang perniagaan, kita juga harus bersedia menghadapi risiko yang bakal melanda dan ia memerlukan komitmen 100% untuk berjaya”, ujar Haikal.

Di akhir lawatan, sesi penyampaian cenderahati telah disampaikan oleh Tuan Haji Surjan Sirajudi, Pensyarah Kanan selaku ketua rombongan kepada Puan Hajah Zuraini Shahrudin, Pengurus SPU sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

Sebagai rekod, Lawatan Akademik Pelajar Pra Diploma, UiTMCSH Kampus Tawau ini adalah yang pertama kali diadakan selepas penganjurannya ditangguhkan sejak tahun 2020 akibat Pandemik Covid-19.