Road Tour Mcdonald’s Malaysia Ke UiTM Cawangan Sarawak (Zon Borneo)

Road Tour McDonald’s Malaysia ke UiTM Cawangan Sarawak (Zon Borneo) merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan di seluruh sistem atau cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini merupakan satu inisiatif yang dianjurkan bersama dengan pihak industri bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM.

Salah satu objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM Cawangan Sarawak melalui kolaborasi dan kerjasama strategik dengan pihak industri iaitu McDonald’s Malaysia. Menurut National Graduate Employability Blueprint 2012-2017, kebolehpasaran bermaksud keupayaan untuk dipasarkan di dalam industri iaitu mempunyai kecekapan bagi mendapat pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan yang bersesuaian. Program Road Tour McDonald’s ini turut ingin mempromosikan McDonald’s sebagai salah satu penempatan latihan industri pelajar UiTM Cawangan Sarawak dan McDonalds’s sebagai salah satu pilihan graduan untuk Program Pengurusan Perantis. Sesi perkongsian oleh pihak McDonald’s telah menerangkan berkenaan ketiga-tiga perkara ini iaitu program kebolehpasaran graduan, penempatan pelajar dan program pengurusan perantis dengan lebih lanjut.

Program Road Tour McDonald’s ini yang dirasmikan oleh Profesor Dato Dr Jamil Hj. Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, turut dihadiri oleh Puan Amirah Ariff, Pegawai Pengambilan, McDonald’s Malaysia serta pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Sarawak, selain pensyarah serta pegawai daripada fakulti serta unit yang berkenaan.

Kehadiran pelajar adalah seramai lebih 150 orang pelajar daripada program Ijazah Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Sarawak yang terdiri daripada program Pemasaran, Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa. Program ini bermula seawal pukul 8.00pagi dan tamat pada jam 12.00 tengah hari.
Program ini diharapkan dapat mendedahkan pelajar kepada peluang-peluang yang diberikan oleh McDonald’s Malaysia dan sekaligus dapat membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM Cawangan Sarawak.